Gambar: Nur Afiqah Cindy, Pengarah Program SULAM 2.0
Oleh: Prof Madya Dr. Jurry Foo (Terbit: 10 Oktober 2023)
SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) kursus Biogeografi Sosial (AG31003), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti malaysia Sabah dengan Pelancongan Tagal Tambulion Ulu, Kota Belud bekerjasama mengoptimumkan sistem Tagal untuk tujuan memperkasakan pengetahuan tentang pengurusan ekosistem sungai melalui pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan khidmat komuniti bagi sesi 2022/ 2023.
SULAM Syoknya Tagal 2.0 itu adalah sebahagian daripada keperluan kursus Biogeografi Sosial yang wajib dilaksanakan oleh pelajar, agar pelajar memahami peranan manusia menguruskan sistem biosfera di dunia sebenar. Manakala khidmat komuniti pula dilaksanakan bagi memperkasakan pengetahuan dan memberi kesedaran kepada komuniti tentang pengurusan ekosistem sungai, khususnya bagi generasi muda melalui aktiviti permainan berasaskan maklumat sistem Tagal, iaitu tugasan modul yang diinovasikan pelajar UMS, selain daripada pelaksanaan model TagaLit (Tagal Literacy Model- CRLY2023S03162).
Keunikan Sistem Tagal yang dilaksanakan di kawasan Pelancongan Tagal Tombulion Ulu adalah bercirikan Taman Rekreasi dan budaya setempat di samping komitmen dan kesediaan komuniti. Pengerusi Jawatankuasa Tagal, En. Boniface @ Doni Jiran menerangkan bahawa kejayaan pengurusan sistem Tagal adalah bergantung kepada komitmen komuniti secara kolektif dan sokongan padu pemegang taruh khususnya Jabatan Perikanan, bukan komitmen individu sahaja. Beliau menyambut baik usaha UMS dalam bekerjasama untuk memperkasakan pengetahuan dan kemahiran sistem Tagal melalui SULAM.
Generasi muda adalah pewaris alam sekitar. Oleh itu golongan ini wajib didedahkan kepada pengurusan alam sekitar yang sistematik. Pelancongan Tagal Tambulion Ulu, Kota Belud boleh menjadi makmal hidup untuk memahami ekosistem sungai mahupun elemen kearifan tempatan dan budaya. Pengetahuan dan kepakaran komuniti yang melaksanakan sistem Tagal Tambulion Ulu perlu dibudayakan melalui pengajaran dan pembelajaran dan khidmat komuniti dalam mencapai matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDG2030). ‘Saya lebih faham tentang sistem Tagal melalui SULAM’, kata Nur Afiqah Cindy yang merupakan pengarah program SULAM 2.0. Program SULAM Syoknya Tagal 3.0. akan terus dilaksanakan di Pelancongan Tagal Tambulion Ulu, Kota Belud melalui penyelidikan DKP0029 sesuai dengan peranan UMS sebagai pembentuk Masyarakat Inovatif.



