RAMPAS… Kabel curi dan beberapa peralatan ditemui dalam kenderaan disyaki digunakan suspek
RANAU: Polis daerah ini berjaya menangkap dua lelaki tempatan yang terlibat mencuri kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) sekitar Pekan Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin, berkata aktiviti itu telah dikesan pada 6 November lalu sekitar 11.35 malam dalam kawasan pekan di sini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Ranau telah berjaya mengesan dan menangkap suspek yang berasal dari Tamparuli pada 22 November lebih kurang jam1.50 petang di sekitar daerah Tuaran.

DSP Simiun Lomudin, Ketua Polis Ranau
“Polis juga berjaya merampas sebuah kenderaan yang digunakan oleh suspek dan turut merampas dua (2) karung kabel TM Telekom yang telah dipotong termasuk alat pemotong besi, gergaji besi dan kad pengenalan disyaki milik kedua-dua suspek.
“Hasil soal siasat awal mendapati, terdapat pengakuan positif berkenaan kejadian curi kabel daripada dua suspek tersebut dan pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk memastikan tindakan dari sudut perundangan dilaksanakan, katanya kepada Borneo Daily Bulletin, hari ini.
Menurut DSP Simiun, kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ranau bagi membantu siasatan.



