Pemain keempat-empat pasukan bergambar kenangan selepas Perlawanan Amal 4 Penjuru di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan. Turut kelihatan Sophian (berdiri pakai topi) dan Hassan Sani (kanan Sophian).
LABUAN: Pasukan Fans Club Liverpool memenangi Perlawanan Amal empat Penjuru untuk membantu legenda bola sepak Sabah dan Labuan, Junaidi Tuah yang diadakan di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan, pada malam Khamis lalu.
Fans Club Liverpool memenangi kedua-dua perlawanan iaitu menewaskan Fans Club Manchester United 2–1 dan Fans Club Arsenal 2–0 pada perlawanan pertama.
Sebelum itu, Manchester United menang tipis ke atas Fans Club Chelsea 3–2. Dalam perlawanan lain, Chelsea mengecewakan Arsenal 4–1.
Penyelaras perlawanan, Dul Alias berkata perlawanan itu diadakan untuk mengisi Tabung Junaidi Tuah yang memerlukan bantuan kewangan bagi kos rawatan pemulihan.
Junaidi Tuah merupakan bekas pemain bola sepak yang pernah menyarung jersi Sabah dan Labuan di era 80-an dan 90-an.

Sumbangan….Hassan (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai hasil kutipan perlawanan bola sepak amal empat penjuru kepada Sophian (empat dari kanan)
Katanya, perlawanan itu dianjurkan bersama Fans Club Liverpool, Manchester United, Arsenal dan Chelsea atas semangat setiakawan.
Turut menyaksikan perlawanan itu ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA), Sophian Said dan legenda bola sepak Malaysia, Datuk Hassan Sani.
Selepas perlawanan itu, Sophian menerima sumbangan daripada pemain keempat-empat pasukan tersebut.
Sophian berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban Junaidi yang masih memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan dan peminat bola sepak.
Katanya, sumbangan boleh diserahkan kepada Junaidi di kediamannya di Kampung Bukit Kuda Wilayah Persekutuan Labuan atau disalurkan terus ke akaun Maybank 166125380404 Junaidi Tuah.



