Robert menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan pada majlis itu.
KENINGAU:Usaha pengwujudan Mini Balai Pasukan Bomba Sukarela Kawasan Bingkor akan dilakukan bagi memudahkan tindakan awal diambil jika berlaku kebakaran sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, pada dasarnya perkara tersebut telah diluluskan oleh JBPM dan Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan namun pembinaan bangunan tersebut tertangguh berikutan perkara yang tidak dapat dielakkan.
Katanya , Datuk Dr. Jeffrey telah meluluskan peruntukkan untuk pembinaan bangunan tersebut pada tahun lalu, tetapi oleh kerana perkara yang tidak dapat dielakkan bangunan tersebut tidak dapat dilaksanakan.
“Jadi kita memohon sekali lagi pada tahun ini dan kita minta JBPM Keningau untuk memohon semula peruntukkan tersebut” katanya.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditemui Pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada 36 penerima terdiri golongan Asnaf, Ibu Tunggal, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Peringkat Zon 4 Keningau di Balai Bomba Keningau pada Isnin.
Katanya, penduduk dikawasan Bingkor ini amat menantikan dan telah pun bersedia pada bila-bila masa untuk menjadi tulang belakang kepada pasukan berkenaan.
Robert berharap dengan agihan bantuan itu dapat meringankan beban golongan sasaran ketika menyambut Ramadan dan menjelang Syawal.
Beliau juga menyeru agar lebih ramai individu dan syarikat korporat tampil memberikan bantuan dan membela golongan asnaf di kawasan Pedalaman.
Pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada JBPM khasnya kepada Bomba dan Penyelamat Zon Keningau yang sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat termasuk lah melalui program seumpama ini.
Hadir sama pada majlis ini, Pengarah JBPM Sabah Razak Muda, Ketua Zon Keningau Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan dan Penolong Pegawai Daerah Keningau Easter Micheal Sutili @ Norhafizah Abdullah.



