Gambar atas: DSP Simiun Lomudin (kiri) menyampaikan sijil penghargaan Pesuruhjaya Polis Sabah kepada ASP Helvin Ribus
RANAU: Seramai 33 anggota polis pelbagai pangkat telah menerima penghargaan atas dedikasi mereka dalam menjalankan tugas pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat daerah di IPD Ranau pada Jumaat.
Enam daripadanya adalah penerima Sijil Penghargaan Pesuruhjaya Polis (PJP) Sabah. Mereka terdiri Ketua Bahagian Cawangan Khas, ASP Helvin Bin Ribus, diikuti KPL Ramzi Bin Arron, KPL Hasri Bin Hasaat, KPL Jack Micheal Malubi, L/KPL Mohammad Hafiz Bin Asri dan L/KPL Siti Khatijah Binti Kamdan.
Pengiktirafan itu disampaikan kepada penerima oleh Ketua Polis Daerah Ranau DSP Simiun Bin Lomudin yang turut menyampaikan penghargaan kepada 21 orang warga awam yang memainkan peranan penting dalam bekerjasama dengan PDRM.

DSP Simiun Lomudin ketika memeriksa perbarisan -Foto oleh Clarence George
Selain itu, turut menerima pengiktirafan ialah 20 anggota PERKEP, selain tiga anggota polis yang bersara setelah sekian lama berkhidmat dengan dedikasi dan komitmen yang dicurahkan melalui unit masing-masing.
Sementara itu, Simiun yang membacakan teks Perutusan Khas Ketua Polis Negara Ketua Polis Negara (KPN) berkata, selaras dengan kehendak Akta Polis 1967, institusi polis akan terus komited dalam menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Menjelang 215 tahun penubuhan PDRM pada hari ini, marilah kita sama-sama bersumpah taat setia kepada raja dan negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Laksanakan tugas secara profesional dan terus perkukuhkan integriti demi menegakkan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Dengan mengekalkan tema ‘polis dan masyarakat tidak berpisah’, seluruh warga PDRM sentiasa bersedia berkhidmat dan berdiri teguh di bawah panji ‘Sang Saka Biru’ untuk memikul tanggungjawab dan amanah bagi memelihara keselamatan masyarakat dan keamanan negara,” katanya.

Sebahagian penerima sijil penghargaan kategori orang awam merakam gambar bersama ASP Helvin Ribus, penerima sijil penghargaan PJP Sabah
Menurut KPN, segala pengorbanan, jerih payah dan titisan darah pahlawan terdahulu, demi keamanan yang dinikmati akan terus diperjuangkan dan juga diwarisi kepada generasi Sang Saka Biru yang seterusnya.
“Dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian, pasukan kerajaan dan KDN telah meluluskan perolehan aset dan peralatan selaras dengan kemajuan teknologi terkini dalam kepolisan moden.

Salah seorang pengamal media mewakili Borneo Daily yang menerima sijil penghargaan Pesuruhjaya Polis Sabah, disampaikan DSP Simiun Lomudin
“Untuk itu, PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan KDN yang amat prihatin terhadap keperluan PDRM serta memperuntukkan dana yang besar untuk kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan warga PDRM yang berkhidmat serta seluruh keluarga dan pesara polis. .
“Pada masa sama, PDRM turut menyatakan kesediaan untuk menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan bagi menyokong dasar dan usaha kerajaan dalam menjaga kesejahteraan masyarakat,” katanya.



