Oleh ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Polis menahan tujuh lelaki warga tempatan dalam satu operasi kerana memiliki dadah jenis syabu di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton ketika mengesahkan tangkapan berkata, kesemua suspek berumur 30 hingga 40 tahun.

“Seramai empat orang suspek telah disiasat dibawah Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu dengan jumlah rampasan dadah seberat 1.05 Gram.
“Manakala tiga orang lagi suspek telah disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana disyaki telah memasukkan dadah kedalam tubuh badan mereka.

“Kesemua suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya kepada media hari ini
Katanya operasi dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD di sini bermula 10 Januari lalu sekitar daerah Ranau.
Menurut Sammy, kejayaan operasi ini merupakan usaha berpanjangan PDRM, khususnya IPD Ranau dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di daerah ini.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini terus kepada pihak polis khusunya IPD Ranau.
“Polis memberi jaminan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” tegas beliau.
DSP Sammy turut meminta ibu bapa memantau pergerakan dan kegiatan anak-anak. Sekiranya timbul kecurigaan kerana perilaku tiba-tiba berubah dan disyaki ada kaitan dengan dadah, ibu bapa diminta tampil segera membuat laporan polis.-TAMAT–



