OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
ADMIN: Johnny Gampawi
KOTA MARUDU: Kira-kira 2,000 waris daripada enam generasi keluarga besar Aki Buntar berhimpun sempena Hari Keluarga yang diadakan di perkarangan rumah Matuzal Timbuong, Kampung Tagaroh di sini Isnin lepas.
Penganjuran julung kali itu telah berjaya menghimpunkan waris keturunan generasi pertama Aki (Datuk) Buntar dan isterinya Odu (Nenek) Luga yang terdiri keluarga Aki Tokupan, Aki Gimpion, Aki Dundungan, Aki Doronsoi, Odu Lansunah dan Odu Mowog yang bertemakan “Pigiroto Piompinaian, Gompio Piuludan”.
Waris Aki Buntar berusia sebulan hingga 100 tahun keatas itu hadir dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menjadikan majlis yang penuh meriah dan bermakna itu sebagai memori terindah buat mereka yang hadir.
Pengerusi penganjur, Rodius Timbuong yang juga cicit kepada Aki Buntar dan generasi ketiga keluarga berkenaan berkata, perhimpunan keluarga itu mencapai objektif penganjuran.
Menurutnya, penganjuran majlis itu bertujuan untuk memperingati Aki Buntar dan Odu Luga dan mereka yang telah tiada khususnya generasi pertama dan kedua disamping mengeratkan ikatan kekeluargaan walaupun kini tinggal berjauhan dan menganut kepercayaan agama yang berbeza.
“Sambutan ini juga diharap dapat memberi peluang kepada seluruh ahli keluarga yang berasal dari keturunan Aki Buntar dan Odu Luga untuk saling mengenali selain menghargai budaya dan asal-usul.
“Pelbagai acara telah disusun atur untuk memeriahkan sambutan majlis itu termasuklah aktiviti gotong royong untuk persiapan majlis, sukaneka, persembahan pentas dan sesi bergambar.
“Bukan sesuatu perkara mudah untuk menganjurkan acara seumpama ini. Ia memerlukan komitmen semua pihak dan teknologi masa kini seperti WhatsApp untuk melicinkan segala perbincangan dan perancangan. Terima kasih atas kerjasama ahli keluarga khususnya jawatankuasa yang menjadikan tugas lebih mudah,” katanya.
Sementara itu, salah seorang waris keturunan Aki Buntar dan Odu Luga dari generasi kelima, Johnny Gampawi ketika dihubungi menjelaskan, idea dan usaha awal untuk menjejaki ahli keluarga Buntar secara berperingkat telah bermula dari tahun 2010 sehingga tahun 2018 bersama seorang lagi waris keluarga dari generasi kelima iaitu, Naney Liman.
“Saya dan Naney mula berusaha untuk menjejaki waris keturunan keluarga besar ini pada tahun 2010 bermula dari keluarga Aki Tokupan Buntar dan berjaya mengenalpasti seramai 1,400 ahli keluarga Aki Tokupan Buntar sehingga tahun 2017.
“Usaha itu telah membawa kepada penganjuran kali pertama Hari Keluarga Aki Tokupan iaitu anak pertama pasangan Aki Buntar dan Odu Luga bertempat di Padang Komuniti, Kota Marudu pada Disember tahun 2018 dengan jumlah kehadiran 1,100 daripada 1,400 yang dikenalpasti.
“Bagaimanapun, sebelum sambutan Hari Keluarga Tokupan Buntar yang diadakan pada penghujung tahun 2018, saya bersama Naney Liman sekali lagi mengorak langkah dalam usaha menjejaki waris keturunan Aki Buntar bermula seawal Januari 2018 sebelum tarikh keramat 16 September 2019 menjadi pilihan untuk menghimpunkan seluruh waris keturunan Aki Buntar dan Odu Luga,” jelas Johnny.-OLEH ADUKA JASNIN SUMAN.

PENCETUS IDEA… Johnny Gampawi (kiri) dan Naney Liman (kanan), dari generasi kelima Aki Buntar.
UNTUK KENANGAN….Sebahagian waris keturunan Aki Buntar dan Odu Luga bergambar pada majlis itu.

CERIA…. Sebahagian lagi ahli keluarga yang sempat bergambar pada majlis itu.


















