GAMBAR: TINJUAN….Bashir (Kiri) bersama Rithuan ketika meninjau PPV KML, pagi ini.
Oleh: Jainudin Djimin
Labuan: Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Kolej Matrikulasi Labuan (PPV KML) telah berjaya menrancakkan proses imunisasi apabila setiap hari pusat ini mencatatkan vaksinasi tertinggi iaitu melebihi 1000 individu.
Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias berkata PPV KML yang mendapat kerjasama daripada MPP Labuan menggunakan pendekatan ‘outreach’ Ketua Ketua Kampung untuk mendaftarkan penduduk kampung menerima vaksin sekaligus memastikan tiada masyarakat Labuan yang tercicir atau terpinggir.
“ Saya yakin tanggungjawab yang diberikan oleh Jawatakuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) kepada MPP Labuan untuk menyelaras pendaftaran setiap penduduk kampung akan dapat mempercepatkan lagi usaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk menjadikan Labuan sebagai wilayah pertama di negara ini yang mencapai imuniti kelompok” katanya ketika dtemui selepas meninjau PPV KML, pagi ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Ismail dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.
Sementara itu, Mohd Dzulfaizal berkata, pihaknya setiap hari telah berjaya mendaftarkan lebih 1,000 individu (penduduk kampung) untuk menerima vaksin di PPV KML.
Beliau turut menyeru kepada penduduk kampung yang sudah mendaftar dengan ketua kampung masing-masing agar dapat hadir kepusat PPV KML mengikut tarikh dan jadual masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan di pusat berkenaan.
Sehingga kini katanya MPP telahpun menyelaraskan seramai 5,000 individu yang terdiri daripada penduduk kampung yang layak dan telahpun menerima suntikan vaksin.
Untuk rekod ketika ini Labuan mempunyai sebanyak empat PPV masing-masing PPV JKR, Kompleks Darul Kifayah dan PPV KML.



