PENGUSAHA kedai kopi India yang turut menerima penilaian Gred A.
LABUAN: Sebanyak 93 premis restoran termasuk kedai kopi menerima penilaian Gred A bersih oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Labuan.
Penilaian Gred A itu adalah hasil daripada pemeriksaan 180 premis restoran termasuk kedai kopi yang telah dinilai tahap kebersihan oleh Unit Kesihatan Perbadanan Labuan sepanjang tahun 2022.
Sementara itu, majlis penyampaian plak penilaian Gred A itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Lazenda, di sini, pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan, Fadhilah Mahmud, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Francis Paul, Pengerusi Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Kadazan Dusun Labuan, Paul Ipoh Leokin dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Hii Lu Hin.
Terdahulu, Rithuan ketika berucap berkata, program penggredan premis makanan bertujuan untuk memastikan setiap pengusaha menjaga tahap kebersihan, penyediaan, penyimpanan, pameran dan penghidangan makanan dikendalikan secara bersih dan selamat untuk pelanggan.
“Selain daripada itu, program ini juga bertujuan memastikan persekitaran luar dan dalam premis termasuk dapur serta tandas dalam keadaan bersih, kemas dan ceria”katanya.
Menurut Rithuan lagi, pengendali makanan dan pembantu bertanggungjawab untuk sentiasa memelihara kebersihan kendiri, berpakaian kemas dan memakai pelindung rambut serta bersopan kepada pelanggan.
“Aspek kebersihan bukanlah sesuatu yang berkekalan sepanjang masa, justeru itu komitmen dan kesedaran daripada pengusaha dan penyedia makanan adalah perlu bagi memastikan kebersihan premis makanan ditahap yang tinggi” katanya.



