DUIT RAYA…. Ahmad Marzuk menyampaikan duit raya kepada salah seorang anak yatim pada majlis itu.
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Seramai 92 anak-anak yatim dan asnaf dari Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menerima duit raya daripada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary sempena Majlis Ramah Mesra dan Majlis Bebuka Puasa Bersama Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang diadakan di dewan utama kompleks berkenaan di sini, pada Sabtu.
Turut sama menyampaikan sumbangan duit raya pada majlis itu ialah isteri beliau, Datin Pg Siti Radziah Pg Abdullah.
Program yang dianjurkan oleh MAIWP Labuan itu turut dihadiri, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan MAIWP, Mahadi Sukarno, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman dan Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad.

ZIARAH….Ahmad Marzuk bersama isteri menyampaikan sumbangan ketika menziarahi Norsiah yang mengidap sakit kronik buah pinggang
Terdahulu sebelum itu, Ahmad Marzuk bersama isteri menyantuni tiga buah keluarga asnaf menerusi Program Jelajah Ramadan.
Antara keluarga asnaf yang diziarahi ialah Puan Norsiah Jinin yang mengidap sakit kronik buah pinggang sehingga menyebabkan hilang penglihatan.
Pada majlis itu Ahmad Marzuk menyerahkan sumbangan bantuan perubatan kesihatan dan juga tongkat empat kaki kepada Norsiah.
Di Kampung Bebuloh Laut, Ahmad Marzuk bersama isteri menziarahi usahawan asnaf Puan Saiyidatul Jasney yang mengusahakan produk sambal Humey.
Saiyidatul yang sebelum ini pernah menerima Bantuan Geran Tunas Usahawan Baitulmal dengan kerjasama SME Corporation berjumlah RM15,000 berjaya menginovasikan pasaran sambal Humey basah kepada sambal kering dengan menghasilkan pendapatan RM35,000.00 sebulan.