7 peserta Sugandoi Kaamatan Ranau bakal bersaing di ‘Pentas Akhir’, 30 April ini

7 peserta Sugandoi Kaamatan Ranau bakal bersaing di ‘Pentas Akhir’, 30 April ini

19/04/2021 Off By Admin

BARISAN tujuh finalis pentas akhir Sugandoi Kaamatan Ranau pada 30 April 2021 ini.

▪︎

0leh: ADUKA JASNIN SUMAN

RANAU: Tujuh peserta Sugandoi Kaamatan peringkat daerah Ranau 2021 bakal berentap pada saingan pentas akhir yang akan berlangsung 30 April ini, jam 7.30 malam di Dewan Masyarakat di sini.

Mereka yang layak ke pentas akhir ialah, Fino Eltiko Juanis, Velerice Paimin, Mohd. Fandy James, Mohd. Sabran Andrew, Dave Albero Johumin, Mohd. Saifullah Zainuddin dan Ferona Paimin.

Pengerusi Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau, J.Sam Haji Sundin, berkata peserta yang layak ke peringkat akhir telah melalui tapisan juri profesional pada sesi pemilihan yang diadakan petang tadi di Dewan Oryzae, Pejabat Pertanian Ranau.

“Seramai 30 peserta mengambil bahagian dengan menghantar video rakaman masing-masing kepada jawatankuasa penganjur untuk dinilai oleh pihak juri.

“Semua peserta hebat-hebat belaka, namun hanya tujuh peseta terbaik yang dipilih ke peringkat akhir,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin hari ini.

PENGANJUR…. J.Sam ( duduk tengah) bergambar bersama AJK Penganjur Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau 2021.

Menurut J.Sam, johan sugandoi pada tahun ini akan menerima hadiah wang tunai RM1,000, naib johan RM800 dan tempat ketiga RM500, di samping piala, sijil dan hadiah iringan.

Johan juga akan ditawarkan satu lagu single  terbitan Mindahu’s Home Studio. Manakala empat pemenang saguhati masing-masing bakal menerima wang tunai RM300 dan sijil penyertaan.

J.Sam yang juga Presiden Ranau Sound System Club (R2SC) menjelaskan, pertandingan akhir akan disiarkan secara langsung menerusi Laman Facebook (Page FB) ‘Pesta Kaamatan Ranau’.

Katanya, penganjuran kali ini tidak melibatkan kehadiran orang ramai kecuali jawatankuasa penganjur, petugas, perasmi dan 10 orang penyokong setiap peserta mengikut kapasiti dewan.(tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 dan SOP terkini MKN)

Bakal mewakili DUN Kundasang, Karanaan dan Paginatan ke peringkat Negeri Sabah

“Kita masih berdepan dengan ancaman Covid-19, justeru penganjuran sugandoi diadakan mengikut SOP semasa yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Tambah J.Sam, Peserta yang mendapat Johan, Naib Johan dan Ketiga, juga secara automatik akan mewakili Ranau untuk DUN Kundasang, DUN Karanaan dan DUN Paginatan ke Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2021, menerusi cabutan undian.