RANAU: Satu blok bangunan melibatkan tujuh buah lot kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Perancangan, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan behubung kejadian itu lebih kurang jam 7.59 malam .
Beliau yang mengetuai operasi berkata, sebuah jentera FRT, termasuk sebuah FRV, EMRS dan kenderaan utiliti bersama 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 23 kilometer dari balai bomba.

Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran -Foto Bomba
“Setiba di lokasi kebakaran mendapati sebuah blok bangunan melibatkan tujuh buah kedai jenis separuh kekal dengan keluasan 70’X10′ telah terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 200 kaki 2 pancutan daripada jentera dan 1 aliran 200 kaki 2 pancutan daripada pam angkut dari sumber air terbuka(sungai),” katanya kepada media.
Ridwan berkata, mujur dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

PEMERIKSAAN..Pasukan bomba melakukan pemantauan dan pemeriksaan selepas api berjaya dipadam – Foto bomba
Katanya, bomba seterusnya membuat pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tidak lagi kemerbahayaan lain di lokasi kejadian.
“Operasi terkawal pada jam 9.33 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.06 malam.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihaknya,” jelas Ridwan.