Sebahagian jemaah haji dari Labuan bersiap sedia untuk berlepas ke Kota Kinabalu.
LABUAN:Seramai 61 bakal jemaah haji terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Daripada jumlah itu, 37 jemaah telahpun berlepas dari Lapangan Terbang Labuan menuju ke Kota Kinabalu pada Isnin dan seterusnya berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini (Selasa).
Menurut maklumat dari Tabung Haji Wilayah Persekutuan Labuan, jumlah keseluruhan jemaah membabitkan 28 lelaki dan 33 perempuan berumur antara 27 hingga 77 tahun.
Sebelum berlepas, bakal jemaah haji diberikan taklimat oleh Pengurus Cawangan Tabung Haji (TH) Labuan, dan penyampaian tazkirah oleh pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan serta bacaan doa.
Dalam pada itu, Tabung Haji turut mengingatkan para jemaah supaya sentiasa mematuhi undang-undang Kerajaan Arab Saudi dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh Tabung Haji.



