MENUNGGU…. beberapa individu yang pulang dari kawasan berisiko di Sabah berbaris menunggu giliran untuk ujian ‘Swab Test’ COVID 19 di Klinik Kesihatan Membedai
LABUAN: Kira-kira 6,000 daripada 10,886 sample yang telah diambil daripada individu yang kembali ke Labuan bagi ujian ‘Swab Test’ antara 26 September hingga 4 Oktober masih menunggu keputusan.
Kesemua individu yang diperiksa dan masih menunggu keputusan itu adalah individu yang masuk ke Labuan melalui pintu Terminal Lapangan Terbang Labuan, Terminal Feri Kenderaan dan Terminal Penumpang Antarabangsa Labuan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata sampel yang diambil di Klinik Kesihatan Membedai telah dihantar ke makmal Hospital Sungai Buloh di Semenanjung bagi membantu mempercepat keputusan yang telahpun mula diperolehi sejak beberapa hari lalu.
Peningkatan mendadak jumlah sampel itu adalah susulan kepulangan penduduk Sabah yang menetap dan bekerja di Labuan selepas pilihan raya negeri bulan lepas serta arahan bahawa mereka perlu menjalani ujian tersebut.
“Kita memahami perasaan mereka yang sedang menunggu keputusan ujian itu… kita sedang melakukan segala apa yang termampu untuk mempercepatkannya,” katanya kepada media di sini, pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan anggotanya telah pun bersiap sedia apabila menjangkakan sekurang-kurangnya satu peratus daripada lebih 6, 000 sampel itu akan diuji positif.
Berikutan ramai individu yang berpusu pusu membuat ujian ‘swab rest’ sejak 28 Oktober lalu menyebabkan berlaku kesekakan lalu lintas sepanjang jalan Tanjung Taras menuju ke Klinik Kesihatan Membedai.
“Kami telah merekodkan sejumlah 1,372 individu dari pagi sehinggga 3 petang pada Isnin dan daripada jumlah itu, 841 dikeluarkan arahan agar menjalani kuarantin di rumah manakala bakinya dilepaskan daripada berbuat demikian,” katanya.
Ismuni berkata pihaknya telah mewujudkan satu e-mel Covidresultlbn@gmail.com dan nombor aplikasi WhatsApp 011-1401 0988 (berikan nama dan no kad pengenalan/pasport) untuk mereka yang menjalani kuarantin di rumah bagi mengetahui keputusan ujian mereka secara dalam talian.
“Memandangkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) telah menerima sejumlah 300 hingga 500 panggilan sehari kebanyakannya mengenai keputusan COVID-19, e-mel dan WhatsApp tersebut boleh membantu mempercepatkan proses itu,” katanya.
Setakat hari ini, Labuan mempunyai 38 kes COVID-19 dengan masing-masing lima dan empat kes baharu direkodkan (dalam kalangan individu yang pulang ke Sabah) pada Ahad dan kelmarin.