JUNAIDAH (tengah) bersama para peserta yang menyertai program tersebut
LABUAN: Seramai 60 peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan dan pemimpin Komuniti (Ketua Kampung) menyertai Program Advokasi Kepenggunaan Bersama Agensi Kerajaan dan Komuniti anjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, pada Khamis.
Program yang berlangsung di Dewan Refflesia Kompleks Ujana Kewangan Labuan (FPL) telah dirasmikan oleh Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain.
Terdahulu ketika berucap beliau berkata, program tersebut merupakan salah satu inisiatif KPDN dalam usaha memperkukuh kesedaran pengguna terhadap hak, saluran perlindungan, serta peranan agensi kerajaan dalam memelihara kepentingan pengguna.
Katanya, antara pengisian utama advokasi tersebut termasuklah sesi
Advokasi Pengguna Bijak yang disampaikan oleh Bahagian Harga Barangan Negara KPDN Labuan, Juliana Jumat.
Manakala advokasi Pengurusan Aduan disampaikan oleh Ketua Seksyen Penguat Kuasa KPDN Labuan, Addie Muja@Mujah.
Ketua Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Nurfadzillah Abd. Rahni pula menyampaikan Advokasi Mekanisme Tebus Rugi (TTPM).
Sementara itu, Junaidah yakin program berkenaan mampu memberikan impak yang positif kepada para peserta melalui pendedahan terhadap peranan mereka sebagai pengguna yang berinformasi, hak-hak yang boleh dituntut secara sah, serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang disediakan oleh kerajaan.
“Secara tidak langsung, ia membantu mewujudkan masyarakat pengguna yang lebih bijak, cakna dan berdaya saing dalam mendepani cabaran kos sara hidup semasa” , katanya.
Selain sesi advokasi, pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan termasuk sesi soal jawab bersama panel penceramah, kuiz atas talian melalui platform Kahoot, serta pameran kepenggunaan komuniti tahun 2025.



