YUSOF (tengah) bersama Nizam (kanan sekali), Abdul Rahman (kiri sekali) pada majlis Anugerah Motivasi Murid Komuniti Nelayan 2021pada Jumaat.
LABUAN: Serama 60 orang pelajar golongan komuniti nelayan dan B40 membabitkan empat buah Sekolah Menengah Kebangsaan dan lapan buah Sekolah Rendah Kebangsaan yang lulus dalam Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu menerima bantuan wang tunai daripada Repsol Oil & Gas Malaysia Limited yang diadakan secara maya, pada Jumaat.
Antara sekolah yang terlibat iaitu SMK Lajau, SMK Pantai,SMK Rancha-Rancha,SMK Taman Perumahan Bedaun, SK Lubok Temiang, SK Patau-Patau, SK Rancha-Rancha, SK Bebuloh, SK Layang-Layangan, SK Sungai Lada, SK Tanjung Aru dan SK Pantai.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohamad ketika berucap pada Majlis Anugerah Motivasi Murid Golongan Komuniti Nelayan Tahun 2021 berkata, pihak Repsol telah menghulurkan bantuan sebanyak RM400 kepada murid Tingkatan 3 yang lulus PT3 dan RM300 kepada murid Tahun 6 yang lulus dalam UPSR pada tahun lalu.
“ Dengan bantuan ini, kita berharap para pelajar akan menggunakan wang bantuan itu dengan sebaik-baiknya dan menggunakan bantuan itu untuk membeli peralatan sekolah dan buku-buku pelajaran,” katanya.
Yusup turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Repsol di atas usaha murni dalam membantu pelajar dari golongan komuniti nelayan berpendapatan rendah sebagai motivasi dalam pelajaran dan kehidupan mereka.
“ Saya berharap program ini dapat diperluaskan kepada pelajar-pelajar lain yang layak dan menjadikan program ini salah satu program utama secara ‘one off’ yang menjadi fokus utama khidmat masyarakat daripada pihak Repsol,”katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Nizam Yasim, dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Abdul Rahman Ahmad.
Sementara itu, Pengurus Kanan Repsol Ahmad Fakhrurazi berkata, anugerah tersebut merupakan kesinambungan usaha dalam memfokuskan kepada pendidikan, khasnya kepada anak-anak nelayan di Labuan yang masih di bangku sekolah.
“Setiap penerima darjah 6 akan menerima wang tunai RM300 manakala penerima Tingkatan 3 akan menerima wang tunai RM400 menjadikan jumlah anugerah kesemuanya adalah RM20,000.00.
“Hasrat kami adalah untuk membantu dan menyuntik semangat dikalangan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti kokurikulum sekolah,” katanya.
Justeru itu, pihaknya berharap agar insentif itu dapat membantu dan menjadi suntikan semangat kepada pelajar yang berjaya untuk terus berusaha mengekalkan kecemerlangan di dalam pelajaran sehingga ke tahap menara gading.