BENGKEL… sebahagian para peserta yang menyertai bengkel Program Pembangunan Sukan OKU peringkat Zon Sabah, Sarawak dan Labuan.
LABUAN: Seramai 52 peserta dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang terdiri daripada pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan dan Pengerak Sukan OKU telah menyertai Bengkel Program Pembangunan Sukan OKU peringkat Zon Labuan, Sabah dan Sarawak.
Program yang berlangsung selama empat hari di Bilik Reflesia Ujana Kewangan itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan.
Bengkel tersebut bertujuan untuk membincangkan pemantapan program dan aktiviti sukan mengikut ketidakupayaan peserta OKU.
Ia juga sebagai garis panduan serta rujukan kesejahteraan pembangunan sukan OKU di negara ini.
Majlis penutupan bengkel tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail.
Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohammad Syaffie Haji Japril, Pengarah Cawangan Paralimpik, Majlis Sukan Negara, (MSN), Mohd Sopian Hamzah, Penolong Pengarah Cawangan OKU, Jabatan Belia dan Sukan Negara, , Razlan Abdul Rauf dan Presiden PERSON Wong Foo Leong.