Datuk Jonathan menyampaikan bubur lambuk kepada salah seorang pelanggan yang singgah di Stesen Petronas sempena program tersebut.
RANAU: Sebanyak 500 bekas bubur lambuk diedarkan kepada orang ramai di kawasan Stesen Minyak Petronas Ranau dalam satu program kebajikan sempena bulan Ramadan yang diadakan baru-baru ini.
Program berkenaan dianjurkan oleh Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (KUSAIR) yang dipengerusikan Dayang Ainon Salleh dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Ranau.
Aktiviti pengagihan bubur lambuk itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat apabila orang ramai yang melalui kawasan berkenaan turut menerima juadah tersebut secara percuma.
Turut hadir memeriahkan program berkenaan ialah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin bersama beberapa kakitangan Pejabat Parlimen Ranau yang turut membantu mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai.

KENANGAN……..Datuk Jonathan (tengah), sebahagian ahli KUSAIR dan Staf Pejabat Parlimen Ranau sempat merakam gambar sebelum edar bubur lambuk kepada orang awam.
Kehadiran beliau bersama kakitangan pejabat Parlimen itu secara tidak langsung menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan penganjur dan peserta program.
Sementara itu, pihak KUSAIR merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Parlimen Ranau atas kesudian meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan program tersebut.
Menurut penganjur, program seumpama itu bukan sahaja bertujuan berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dalam kalangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di daerah berkenaan.
Selain itu, penganjuran program tersebut juga bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan sahabat AIM Ranau di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam komuniti setempat.- Oleh Salwa Aramat



