PENGHARGAAN…. Fadilah (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah Ustaz Mohd Zaki samba diperhatikan Haji Hamir (tengah)
LABUAN: Seramai 50 peserta yang terdiri daripada komuniti setempat telah berjaya menyertai Kursus Teori dan Praktikal Sembelihan Halal yang diadakan di Masjid Adam Kampung Lajau baru-baru ini.
Kursus tersebut dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub zon 5 dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA), NISA Labuan dan Sukarelawan Yayasan Islamiah Malaysia (YADIM) Labuan.
Kursus yang bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai cara penyembelihan halal haiwan atau ayam mengikut hukum syarak itu telah dirasmikan oleh Timbalan Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Haji Hamir Zahari.

PESERTA… sebahagian dari para peserta yang menyertai Kursus Teori dan Praktikal Penyembelihan halal.
Pengerusi MPP Subzon 5, Fadilah Eddy Abdul Khalid ketika ditemui berkata, peserta turut diberi ceramah mengenai teori penyembelihan seperti hukum, kaedah dan hikmah penyembelihan mengikut cara Islam oleh tiga penceramah jemputan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.
Mereka terdiri daripada Ustaz Mohd Zaki Mat Salleh, Ustaz Mohd Najah Haji Elias dan Ustaz Mohd Najeeb Abdul Rahman
Turut sama menyertai kursus ini ialah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Wilayah Persekutuan Labuan.
Hadir sama, Pengerusi PAMULA, Mohd Faiz Sahat dan Ketua Sukarelawan Yadim Labuan, Syafiq Zainol.