Rendy (tengah barisan belakang) bersama peserta Pengucapan Awam Next Level Siri 2.
LABUAN: Seramai 50 peserta belia yang melibatkan pelbagai latar belakang menyertai program “Pengucapan Awam Belia 2025: Next Level Siri 2” yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru baru ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) dengan kerjasams Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan itu bertujuan memperkasakan kemahiran komunikasi generasi muda, khususnya dalam pengucapan awam yang berkeyakinan, beretika dan berimpak.
Menurut Naib Pengerusi KEBAL, Noor Azila Saftu, penganjuran program tersebut bertujuan untuk memperkasa kemahiran komunikasi genarasi muda, khususnya dalam pengucapan awam yang sentiasa berkeyakinan dan berimpak tinggi serta beretika.
“Belia hari ini perlu berani bersuara dalam menyampaikan pandangan dengan penuh keyakinan dan mahir menyampaikan mesej dengan jelas bukan sahaja di atas pentas, tetapi untuk kehidupan seharian, kerjaya dan kepimpinan.
Kami komited menyediakan lebih banyak platform pembangunan diri seperti ini pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan program tetsebut.
Sementara itu, sesi ceramah telah disampaikan oleh penceramah undangan, Rendy Ricky,
Dalam ceramahnya,Rendy menekankan aspek teknik penyampaian berkesan, kawalan emosi, pembinaan keyakinan diri serta kaedah menyampaikan mesej dengan lebih meyakinkan di hadapan khalayak ramai.
Program tersebut turut disertai oleh ahli-ahli tertinggi KEBAL serta Ikon Belia Labuan, Mohamathir Malik, yang hadir memberi sokongan dan motivasi kepada para peserta. Kehadiran mereka menyerikan majlis dan menggambarkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem pembangunan belia di wilayah itu.
Penganjuran siri kedua program ini turut mendapat sokongan sebagai rakan strategik daripada Rakan Muda, Masjid Jamek Layang-Layangan, serta pihak UMSKAL, sekali gus menunjukkan sinergi pelbagai agensi dalam memperkasa pembangunan modal insan belia.



