PELAJAR KML bergambar kenangan di hadapan Menara UMSKAL.
LABUAN: Seramai 40 pelajar Jurusan Sains Modul Sains Komputer Kolej Matrikulasi Labuan (KML) telah menyertai Lawatan Kerjaya ke Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.
Pegawai Kaunseling KML, Zarina Sana berkata lawatan itu bertujuan untuk mendapatkan maklumat dari segi bidang kursus dan syarat kemasukan ke jurusan teknologi maklumat di UMSKAL
Selain itu, katanya, untuk melihat kemudahan dan fasiliti peralatan teknologi maklumat yang disediakan oleh pihak universiti dalam pembelajaran untuk para pelajar.
“Lawatan itu juga bertujuan sebagai jalinan kerjasama rakan strategik antara KML dan UMSKAL.
“Menerusi lawatan itu, pelajar KML akan dapat merasai suasana pembelajaran di universiti,”katanya yang juga ketua rombongan KML.
Turut bersama rombongan KML ialah Pensyarah Sains Komputer KML, Tan Her Soon dan Pengarah Program, Mohamad Nazmi Kamarudin.
Ketibaan pelajar KML itu disambut Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Mohd Nazri Suin yang mewakili Dekan Fakulti Komputeran & Informatik (FKI), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi, Ketua Program Komputeran Perniagaan, Dr. Nooralisa Mohd Tuah dan Pensyarah Kanan Program Teknologi Multimedia, Dr. Carolyn Salimun.
Ketika di Dewan Kuliah Podium A, Bangunan Menara UMSKAL, Mohd Nazri menyampaikan taklimat mengenai pentadbiran FKI manakala Dr. Nooralisa dan Dr. Carolyn masing-masing menyampaikan maklumat mengenai Program Komputeran Perniagaan dan Program Teknologi Multimedia,
Mohd Nazri turut menerangkan mengenai kemudahan yang terdapat di Makmal FKI di Aras 9, Bangunan Menara UMSKAL.
Sebelum mengakhiri lawatan, pelajar KML berpeluang melihat pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13 yang turut menempatkan balai cerapan anak bulan.
“Kami berharap pelajar KML akan menjadikan FKI pilihan utama mereka seterusnya,”kata Mohd Nazri.