26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

4 PESERTA BERJAYA WAKILI DAERAH KE FESTIVAL RANCAK SENI PERINGKAT NEGERI

Datuk Abidin bersama para pemenang solo dan duet Rancak Seni Daerah

RANAU: Seramai 4 orang peserta berjaya mewakili daerah ke Festival Rancak Seni Peringkat Negeri yang akan berlangsung secara dalam talian pada 15 September ini.

Para peserta tersebut ialah johan Festival Rancak Seni Peringkat Daerah Kategori Solo iaitu Muhammad Alif Ikhmal Danial Azawan yang mendapat markah 88% mewakili Zon Selatan dan Nur Aleesya Dania Hardey, naib johan (87%, Zon Utara).

Dua peserta lagi adalah pemenang johan dan naib johan kategori duet iaitu pasangan Belle Queenzy Ronny / Valentine Jius mewakili Zon Timur yang memperoleh markah 82% dan Mohd. Firaz Boy / Adabela Cordelia dari Zon Ulu Sugut (80%).

Penyelaras Teknik Rancak Seni Daerah, Nuranisa Natasha Pirron berkata semua pemenang johan dan naib johan diingatkan agar dapat menyediakan rakaman yang berkualiti untuk dihantar ke peringkat negeri sebelum tarikh tutup penyertaan pada 12 September.

“Jangan lupa untuk mengucapkan slogan ‘Seni Untuk Semua’ di akhir rakaman untuk menyemarakkan kesenian di kalangan murid, guru dan masyarakat” katanya.

Ketika ditanya tentang objektif program, Nuranisa berkata terdapat empat objektif iaitu Menyediakan platform pameran bakat yang lebih besar di peringkat kebangsaan kepada murid-murid sekolah di setiap negeri untuk mengasah dan serlahan bakat dalam pelbagai cabang seni persembahan, Menggalakkan murid kekal berkarya dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 sebagai usaha menyemarakkan aktiviti kokurikulum dalam seni persembahan dalam kalangan murid KPM, Meningkatkan kemahiran dan kreativiti dalam penggunaan teknologi bagi menyediakan seni persembahan secara dalam talian dan Menyahut saranan Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap elemen Love, Respect, Happiness and Humanity (LR2H) dalam pendidikan dan meningkatkan pembinaan jati diri dan kemenjadian murid.

Terdahulu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir ketika merasmikan penangguhan Pertandingan Rancak Seni Peringkat Daerah yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Kebuh baru-baru ini merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang tersebut.

“Aktiviti Rancak Seni seperti pada hari ini adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah yang bertujuan membantu menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran serta nilai sosial yang dipelajari di dalam kelas. Penyertaan anak-anak semua pada hari ini sebenarnya tanpa anda sedar membabitkan aspek kognitif, afektif dan psikomotor yang mengandungi elemen pengetahuan, pengalaman dan kemahiran baharu. Semoga anda akan berjaya membawa pulang kejuaraan” jelas Abidin.

Sementara itu Datuk Abidin turut mengingatkan ibu bapa agar terus meningkatkan kerjasama kepada pihak sekolah dan memberikan sokongan serta dorongan kepada anak-anak untuk melibatkan diri dalam apa juga program yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

“Sekiranya kurang mendapat kerjasama kemungkinan akan mewujudkan kepincangan dari sudut pembentukan insan seimbang. Ia susulan ketidaksetaraan penekanan terhadap perkembangan mental dan perkembangan rohani murid. Murid juga akan kurang kemahiran berkomunikasi dan pergaulan sesama rakan sebaya sekaligus akan memberikan kesan kepada  nilai kepimpinan, kebolehan membuat keputusan, kreativiti dan kerjasama” jelas Datuk Abidin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum Dan Kesenian), Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Jaminus Agang, Guru Besar SK. Nalapak (Tuan Rumah) Jaipin Kimburon, Pemaju Pembangunan Masyarakat Paginatan, Hisyamudin Harun, CDO Paginatan, Japli Sigal, Setiausaha Bahagian STAR Paginatan, Juis Konsuling, KAN Sawalin Zakariah, KAN Kapilin dan Pemaju Mukim Nalapak, Helary Eshell.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN