Simiun menunjukkan kabel curi yang dirampas dalam kes berkenaan
RANAU: Polis daerah ini telah berjaya menangkap empat orang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes mencuri kabel dan penyalahgunaan dadah pada hari Khamis.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Simiun Bin Lomudin berkata, pada 11 Julai, 2024 jam lebih kurang 3.30 petang, bertempat di kilometer 4 Jalan Ranau-Tambunan, pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ranau telah menjalankan pemeriksaan terhadap dua buah kenderaan Perodua Bezza (kereta sewa).
Katanya, kereta berkenaan membawa muatan pelbagai jenis wayar kabel Telekom serta sebuah beg mengandungi bahan yang dipercayai dadah jenis syabu.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap dua buah kenderaan tersebut, pihak polis telah menjumpai wayar kabel sebanyak lebih kurang 126 kg (anggaran kasar), pelbagai jenis pemotong kabel (cutter), 3 peralatan untuk menghisap dadah jenis syabu, serta dadah jenis syabu seberat 6.12gram.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati 4 orang suspek dalam kes ini sedang dalam perjalanan menuju ke Tambunan untuk menjual kabel (hasil curi) dan mereka telah berjaya ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ranau yang sedang menjalankan tugas sekatan jalanraya (Op Utama).
“Hasil ujian air kencing terhadap keempat-empat suspek mendapati kesemuanya positif dadah jenis “methamphetamine” dan “amphetamine”,” kata beliau kepada wartawan semasa Sidang Media di IPD Ranau pada hari Jumaat.
Tambah Simiun lagi, 3 orang daripada suspek berkenaan mempunyai 5 ke 11 rekod lampau pelbagai kesalahan manakala seorang saspek tiada rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan 2 tahun penjara berat serta tidak kurang daripada 3 kali dan tidak melebihi 9 kali sebatan rotan.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman 2 tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa pihak polis sentiasa memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan apa jua maklumat berkaitan jenayah kepada pihak PDRM.