Yahya (empat kanan), Haji Abdul Wahid (tiga kiri) dan Hajah Dayang Pungut (tiga kanan) bersama pesara guru yang menghadiri majlis berkenaan.
LABUAN: Seramai 35 pesara guru menjayakan jamuan akhir tahun Persatuan Pesara Guru Malaysia Cawangan Labuan (5PM Labuan) yang diadakan di Tiara Hotel Labuan, baru-baru ini.
5PM Labuan merupakan sebuah persatuan yang aktif di Wilayah Persekutuan Labuan untuk menjaga kebajikan pesara guru dan mengadakan pelbagai aktiviti, seperti sambutan Hari Guru, untuk menghubungkan kembali warga pendidik yang telah bersara.
Majlis anjuran 5PM Labuan dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh.
Turut hadir Naib Pengerusi 1, 5PM Negeri Sabah, Haji Abdul Wahid Matbari.
Pengerusi 5PM Labuan, Hajah Dayang Pungut Abdul Jalil berkata majlis itu diadakan untuk mengeratkan ukhuwah antara ahli menerusi jamuan akhir tahun 2025.

Yahya menerima cenderamata daripada Hajah Dayang Pungut.
Katanya, sepanjang tahun ini, pelbagai aktiviti telah diadakan yang memberi manfaat kepada ahli dan komuniti pendidikan di wilayah ini.
Beliau berharap lebih banyak aktiviti akan diadakan pada tahun hadapan termasuk kempen menambah ahli Baharu persatuan.
Pada majlis itu diadakan penyampaian sijil penghargaan, memotong kek hari jadi dan pertukaran hadiah.
Dayang Pungut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang banyak membantu melancarkan perjalanan dan pentadbiran persatuan pada tahun ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli 5PM Labuan yang sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen menjayakan pelbagai program sepanjang tahun ini,”katanya.



