KEADAAN struktur rumah haram yang telah dirobohkan.
LABUAN: Sebanyak 34 buah rumah yang dibina secara haram di tanah kerajaan berhampiran Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) warga Filipina Kampung Muslim diroboh dalam Ops Roboh, pada Sabtu.
Operasi bersepadu Ops Roboh yang diketuai oleh Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Labuan itu turut melibatkan sembilan agensi lain dengan kekuatan 105 individu.
Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Labuan, Abdul Basit Abdul Latif berkata sebanyak 34 rumah haram termasuk struktur lain yang didiami kira-kira 300 individu dirobohkan.
“Operasi yang mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan dan PDRM serta beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang bertujuan untuk menangani kebimbangan berhubung keselamatan, kebersihan, kecurian elektirik dan isu pencerobohan daripada terus berleluasa”, katanya di sini.
Abdul Basit berkata, sebelum ini pihaknya telah mengeluarkan notis selama lebih enam bulan selain lanjutan masa untuk mengosongkan kawasan tersebut, namun masih ramai yang ingkar.
“Di bawah peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Nagara (KTN) 1965 (Akta 56) kesalahan ini boleh didakwa sehingga RM500,000 atau lima tahun penjara.
“Dalam konteks ini kita meminta penduduk di sini supaya mengosongkan kawasan tersebut namum masih ramai yang ingkar” katanya.
Menurut Abdul Basit lagi, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa kawasan di sekitar Kampung Gersik Saguking yang turut didapati berlakunya pembinaan rumah secara haram yang akan dirobohkan.