SOPHIAN (dua dari kiri) mempengerusikan mesyuarat bersama ahli-ahli LAFA bagi menyelaras kejohanan tersebut. Turut kelihatan Azhar (kanan sekali) dan Noor Halim (dua dari kanan).
LABUAN: Sebanyak 31 pasukan yang melibatkan penyertaan dari Sabah, Sarawak dan Labuan bakal beraksi di Kejohanan Bola Sepak 9 Sebalah Piala Sailion 2023 anjuran Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA).
Menurut Presiden LAFA, Sophian Said, kejohanan yang turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Majlis Belia Labuan (MBL) dan LDA Holding itu akan berlangsung di padang Dataran Labuan selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos depan.
“Pada kejohanan itu lapan pasukan datang dari Sabah dan satu pasukan dari Sarawak selebihya daripada pasukan tuan rumah Labuan yang akan di bagikan kepada lapan kumpulan” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat peringkat akhir penyelarasan kejohanan itu di sini, Jumaat lalu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holding, Noor Halim Datuk Zaini dan Pengerusi LDA Holding, Azhar Othman.
Beliau berkata, johan akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta piala rebutan, naib johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, tempat ketiga dan keempat masing masing bakal menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan RM1,000.
Majlis penyampaian hadiah perlawanan akhir dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail.
Perlawanan akhir kejohanan itu akan diadakan sekitar jam 7.45 malam pada 6 Ogos.
Sementara itu pelbagai acara menarik turut diadakan sepanjang kejohanan itu berlangsung antaranya pameran kereta, dan juga gerai jualan.
Turut diadakan persembahan hiburan live band yang didatangkan dari Kota Kinabalu Sabah.
Sophian berkata, Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Sailion 2023 bukan sahaja dapat mencungkil bakat bakat baharu pemain bola sepak tempatan tetapi dalam waktu yang sama dapat membantu menjana ekonomi peniaga tempatan, selain mempromosikan sukan pelancongan Labuan.