Gambar: JELIUS memberikan kata-kata semangat kepada pemain bawah 21 Labuan yang menyertai sesi pemilihan itu di Kompleks Sukan Labuan, pagi ini
LABUAN: Hasil usaha Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA), akhirnya sesi pemilihan skuad Piala Presiden Sabah FC (under 21) berhasil diperluaskan ke Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan pagi ini.
Sesi pemilihan yang diadakan di padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan itu sekaligus memberi peluang kepada 30 pemain bola sepak (bawah 21) untuk dipilih menyertai sesi latihan pemilihan skuad Bolasepak Piala Presiden Sabah FC.
Sesi pemilihan bagi zon Labuan itu telah di kendalikan oleh Ketua Jurulatih Skuad Piala Presiden Sabah FC, Jelius Ating yang turut dibantu oleh penolong jurulatih, Burhan Ajui dan jurulatih penjaga gol Jasrin Jabidin dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) peringkat Daerah serta Scouting Team, Matlan Marjan.
Jelius ketika ditemui, berkata pada peringkat awalnya sesi latihan ini hanya melibatkan daerah di suluruh Sabah melibatkan zon Tawau, Sandakan Beaufort, Keningau, Ranau, Kudat dan Kota Kinabalu yang sepatutnya berkahir pada 6 Januari lalu.
“Bagaimanapun atas permintaan Presiden LAFA, Sophian Said supaya sesi pemilihan skuad Piala Presiden Sabah FC ini diperluaskan ke Labuan, maka kami bersetuju dan hari ini kami telah membuat sesi terakhir pemilihan zon Labuan untuk melihat anak muda Labuan bawah 21 tahun yang berpotensi untuk diserapkan ke sesi latihan pemilihan awal Skuad Piala Presiden Sabah FC” katanya.
Beliau berkata, seramai 60 pemain yang layak akan terpilih untuk menyertai sesi pra pemilihan yang akan dijalankan di Kota Kinabalu pada minggu depan.
“Mereka yang layak untuk menghadiri sesi pemilihan itu bukan sahaja akan bersaing sesama sendiri tetapi juga terpaksa bersaing dengan pemain sedia ada (bawah 19 tahun) untuk mendapat tempat dan hanya 25 pemain sahaja akan dipilih untuk mewakili Skuad Bola Sepak Piala Presiden Sabah FC 2022.
Hadir sama pada sesi pemilihan itu, Presiden LAFA, Sophian Said dan Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Labuan, Mohd Raiful Madarun.