33 C
Kota Kinabalu
Selasa, Disember 5, 2023
ADVERTISEMENTspot_img

3 Cadangan & Tindakan Selesai Krisis Eletrik Di Sabah

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A.Suan mencadangkan kepada kerajaan agar mengambil 3 tindakan segera bagi menyelesaikan isu dan krisis bekalan tenaga yang serius di Sabah.

Cadangan pertama beliau ialah kelulusan daripada Kabinet Persekutuan untuk memohon dan mewartakan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan untuk menggantung Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) haruslah disegerakan pengaplikasiannya untuk menjayakan perkhidmatan pengurusan tenaga yang lebih cekap dan berkesan.

Katanya, tindakan segera kedua yang perlu diambil oleh kerajaan ialah Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah (2023-2027) bagi menyediakan penyelesaian segera kepada kekurangan kapasiti penjanaan kuasa yang kritikal semasa di Sabah.

“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan memainkan peranan untuk memudahkan dan meneruskan proses bagi memastikan projek yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah siap tepat pada masanya.

“Terakhir, kita dimaklumkan bahawa beberapa peruntukan seperti geran berjumlah RM2.3 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi pelaksanaan projek pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik di Sabah yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (Sabah Special Project Delivery Unit (SAPADU))dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Kerajaan Persekutuan mesti memastikan peruntukkan pembiayaan melalui geran ini berjalan lancar kerana ia merupakan projek kemudahan awam yang mesti disiapkan menjelang 2028 agar kuasa daripada dua stesen hidroelektrik baharu dapat disalurkan kepada pengguna melalui Grid Sabah.

“Bekalan tenaga elektrik yang stabil adalah hak asasi manusia pada ketika ini, bukan sahaja pengguna domestik, tetapi pengguna industri juga sangat memerlukan bagi memastikan produktiviti industri di Wilayah Sabah sentiasa terjaga dan berkualiti. Fokusnya, tiga indikator iaitu keterjaminan tenaga (energy security), mampu milik (affordability) dan kelestarian alam sekitar (environmental sustainability) haruslah menjadi asas bagi mencapai matlamat ini.”, katanya ketika membahas Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 di persidangan Dewan Negara pada Rabu.

Bobbey berkata, isu bekalan tenaga elektrik di Sabah sudah mencapai tahap yang kritikal dan pada bulan Mei 2023 sahaja, semua bandar utama di Wilayah Sabah seperti Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Sandakan, Tawau, Tambunan, Kota Belud dan Lahad Datu telah mengalami gangguan elektrik yang sangat serius.

Katanya, ini disebabkan oleh bekalan elektrik yang tidak mencukupi disamping permintaan yang tinggi disebabkan oleh cuaca panas yang beterusan, sehingga pihak SESB terpaksa membuat kerja-kerja penyesuaian grid bagi memastikan kestabilan penyaluran tenaga untuk pengguna domestik dan industri.

Sebab itu katanya, kaedah “load-sheeding” (catuan bekalan) terpaksa digunakan hingga berlaku “blackout” (ketiadaan elektrik) hampir di seluruh Sabah.

“Margin rizab juga adalah rendah dan dengan permintaan yang tinggi, ia mencapai keadaan “deficit”. Standard antarabangsa untuk margin rizab yang sesuai untuk satu sistem bekalan elektrik yang stabil perlu berada pada tahap 20% hingga 30% kapasiti penjanaan”, tambahnya.

Bobbey menegaskan, walaupun Wilayah Sabah kini sedang mengalami krisis bekalan tenaga yang serius, namun Kerajaan Sabah sendiri tetap komited untuk memastikan hak asasi rakyat negeri Sabah bagi mendapatkan bekalan tenaga yang stabil terus terpelihara, disamping dokongan daripada Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan urusan untuk Kerajaan Sabah menguruskan tenaga dengan lebih cekap dan mandiri.

“Dengan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 ini, kuasa kawal selia elektrik di Sabah akan berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Sabah bermula awal Januari 2024. Untuk mencapai tarikh sasaran yang ditetapkan itu, penyelarasan dan kerjasama semua pihak adalah penting supaya semua isu, terutama proses perundangan dapat diselesaikan”, tegasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN