BANTUAN… Dr Fary (empat dari kiri), Faszilah (dua kiri), Haji Hamir (dua kanan) dan Mohd Szulfaizal (kanan sekali) bersama sebahagian daripada penerima Kit Makanan yang mewakili peniaga-peniaga pasar sentral
LABUAN: Seramai 299 peniaga Pasar Sentral Labuan menerima bantuan kit makanan sumbangan daripada Perbadanan Labuan (PL) yang berjumlah keseluruhannya hampir RM15,000.
Mereka yang menerima bantuan itu terdiri daripada peniaga pasar ayam, daging, ikan, sayur, buah-buahan dan ikan kering yang terjejas berikutan penutupan selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Disember yang lalu bagi kerja-kerja sanitasi awam selepas beberapa peniaga dikawasan tersebut positif COVID 19.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dan Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Haji Hamir Zahari di ruang legar Tingkat Empat Wisma Perbadanan Labuan, pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Fadzilah Mahmud dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.
Fary ketika ditemui pada majlis itu, menjelaskan penutupan selama tiga hari pasar sentral terpaksa dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan tentang adanya kes positif COVID 19 di kesan di kalangan peniaga di kawasan tersebut.
Beliau berkata, perkara itu agak membimbangkan dalam aspek keselamatan kerana kalangan peniaga sentiasa berurusan dengan pelanggan setiap hari.
“Kita nasihatkan kepada peniaga agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi memastikan mereka dihindari oleh jangkitan pendamik COVID 19” katanya.
Menurut Dr Fary, Perbadanan Labuan akan terus melaksanakan sanitasi awam secara berjadual setiap bulan di kawasan-kawasan awam yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk Pasar Sentral Labuan.
Dalam perkembangan yang lain, Perbadanan Labuan sebelum ini katanya, telah pun menyediakan bantuan kepada golongan peniaga kecil menerusi program Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) Wilayah Prihatin.
Katanya, antara bantuan yang telah disalurkan ialah bantuan one-off RM500, pengecualian sewaan premis niaga dan pengecualian pembaharuan lesen perniagaan melibatkan kos RM2.19 juta.