PERIKSA… Mohd Harris ketika mengetuai Ops Bersepadu di Stetsen Penguatkuasaan JPJ Jalan Arshad, Rancha-Rancha.
LABUAN: Sebanyak 287 kenderaan diperiksa dan 40 kenderaan daripadanya diambil tindakan dalam satu sekatan jalan raya Ops Bersepadu di Stesen Penguatkuasa, JPJ Rancha-Rancha, dekat sini, pada Khamis.
Pengarah JPJ Sabah, Haji Mohd Harris Ali berkata selain itu sebanyak 28 notis kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Dalam operasi itu juga katanya satu tangkapan telah dilakukan terhadap seorang individu lelaki yang gagal dalam ujian air kencing.
Jelas beliau, operasi berkenaan melibatkan 37 anggota penguatkuasaan daripada Polis Di Raja Malaysia, (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan JPJ Labuan.
“Tujuan utama operasi yang kita laksanakan ini adalah untuk mengurangkan statistik kemalangan jalanraya melalui kolaborasi senergi bersama rakan agensi penguatkuasaan, selain membudayakan pemanduan berhemah dan pematuhan undang undang lalu lintas oleh semua penggunan jalan raya” katanya ketika di temui media selepas mengetuai operasi berkenaan.
Beliau berkata JPJ Sabah akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas keatas semua pengguna jalan raya khususnya di Sabah dan Labuan.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pesalah jalan raya kerana ianya membabitkan nyawa dan keselamatan. Semua pengguna jalanraya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi kesejahteraan semua pengguna jalan raya” katanya.



