Gambar atas : Kanak-kanak turut diberi peluang dalam pertandingan mewarna
SANTAI dan penuh manfaat mungkin itulah salah satu kelebihan yang ada dalam Program ‘Jom Sihat’ anjuran Kelab Belia Teguh, Kampung Kebuh Baru yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di padang kampung berkenaan baru-baru ini.
Dimulai dengan turun beramai-ramai ke padang seakan ingin menunjukkan simbolik kepada umum tentang keterujaan menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ yang akan bermula 1 April ini.
Semasa penulis membuat liputan, Senamrobik Perdana yang menjadi tirai pembuka Program ‘Jom Sihat’ adalah yang paling menyeronokkan buat para peserta. Kebanyakan terdiri daripada kalangan belia dan sedikit ibu bapa melakukan senaman beramai-ramai dengan iringan muzik.
Ada yang keriangan dan tersenyum serta ada pula yang kerap berehat keletihan seolah-olah sudah terlalu lama dikongkong oleh norma baharu dalam kehidupan pandemik. Sementara itu di dalam perkarangan dewan sekumpulan kanak-kanak kelihatan khusyuk bersaing sihat dalam pertandingan mewarna.
Sebahagian belia lelaki dan belia perempuan yang mengambil pada program itu
Selepas senamrobik, disusuli acara membaling belon berair ke arah pasangan, bola sepak futsal kategori lelaki dan regu badminton kategori perempuan. Rakan diberikan tepukan, lawan diberikan sokongan, demikianlah antara gelagat semangat riadah santai pada ketika itu. Semua berasa terhibur oleh persembahan peserta yang mengambil bahagian.
Walaupun aktiviti ini nampak bersahaja dan santai, namun tidak ramai yang sedar akan manfaatnya terutama dalam usaha menjalin hubungan silaturahim yang erat, menerapkan nilai kesatuan dan kerjasama serta memupuk nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak. Di samping itu kesan positif yang lain sudah pasti memberi manfaat kepada kesihatan jantung, meningkatkan kecergasan dan amalan gaya hidup sihat.
Jonelson 26 tahun, (lepasan Degree Tourism Management) selaku Pengerusi Penganjur Program ‘Jom Sihat’ berkata, walaupun penglibatan para belia tidak mencapai seratus peratus disebabkan musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia namun program itu tetap disifatkan telah mencapai objektif.
“Para belia sememangnya menjadi target utama kita kerana mereka adalah aset penting yang akan menggantikan kepimpinan wargatua. Bukan siapa yang menang atau kalah, yang kita mahu ialah mengeratkan hubungan silaturahim agar setiap program kampung akan ada sokongan dan kerjasama yang kuat,” ujarnya.
Keputusan keseluruhan Program ‘Jom Sihat,’ ialah regu badminton dimenangi oleh Eva Jeffry dan Sandra Pawista, Tempat kedua (Dora ladat/Nurjana Abas) dan Ketiga (Ellis Mestin/Calvarina Fify Jahnios).
Sambut belon berair dimenangi oleh Jonelson Jol dan Adroy Enatal, Tempat Kedua (Mary Elvievana/Vianney Benjamin), dan Ketiga (Elis Mestin/Jendra Pawista).
Keputusan mewarna dimenangi oleh Zety Joy (Pertama), Mary Evy Dilva (Kedua) dan Alno Frankie (Ketiga). Manakala bagi bola sepak futsal dimenangi oleh Pasukan Arnold, Tempat Kedua (Pasukan Jonelson), Ketiga (Kumpulan Basilius Dausin) sementara Rayrymo Ardin muncul selaku Penjaring Terbanyak (6 Jaringan).
“Terimakasih kepada semua peserta kerana telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan iaitu melakukan ujian saringan kesihatan awal atau Pre Event Test. Program akan datang ialah Sambutan Kaamatan. Kita akan rancang lebih awal dan mengharapkan lebih ramai lagi peserta yang akan mengambil bahagian.” Katanya.