GAMBAR: Mohd Dzulfaizal (tiga dari kanan) bersama Haji Rithuan (lima dari kanan) menunjukkan sebahagian bantuan bakul makanan untuk diagihkan kepada 700 asnaf.
LABUAN: Seramai 2,100 warga Labuan yang dikategorikan sebagai Fakir Miskin dan Miskin Tegar bakal menerima bantuan My Beras@Wilayah musim kedua.
Bantuan menerusi program Cakna Kemiskinan di bawah Kementerian Wilayah itu akan diagihkan secara berperingkat untuk tempoh enam bulan bemula bulan Mei 2022.
Menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Abdul Manan, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) telah dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk membantu mengagihkan bantuan MyBeras kepada penerima yang telah disenaraikan oleh Perbadanan Labuan.
“ AJK MPP Zon Labuan akan bekerjasama dengan Pengerusi MPP Subzon untuk mengedarkan bantuan beras tersebut secara berperingkat bermula 1 Mei ini” katanya kepada media pada Majlis Iftar MPP Zon Labuan di sini, pada Jumaat.
Pada majlis yang sama, Mohd Dzulfaizal berkata, seramai 700 asnaf menerima bakul makanan dan periuk memasak nasi dan wang tunai yang akan dimasukkan ke akaun penerima.
“Setiap asnaf akan menerima bakul makanan dan periuk memasak nasi.
“Mereka juga akan menerima wang tunai RM200 yang akan dimasukkan kedalam akuan penerima” katanya.
Mohd Dzulfaizal berharap dengan adanya sumbangan ini akan dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, bantuan Bakul Makanan merupakan kesinambungan Program Nur Ramadan yang telah dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim semasa lawatan kerja beliau ke Labuan baru-baru ini.
Terdahulu sebelum itu, Mohd Dzulfaizal mempengerusikan mesyuarat pengurusan MPP Zon Labuan Bil2/21.
Hadir sama pada Majlis Iftar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Bahagian Sosio Ekonomi Perbadanan Labuan, Helmi Bali, Pengerusi MPP Sub Zon 5, Fadilah Eddy Abd. Khalid dan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Subzon 5, Jainudin Djimin.