Oleh Noor Aslinda Abu Seman
Pensyarah Kanan
Johor Business School
RAMAI antara kita sudah pun berada dalam tahun 2026 dengan azam yang baharu, tetapi masih membawa tabiat lama yang sama. Kita tahu apa yang perlu dibuat, namun tetap memilih untuk bertangguh. Sikap inilah yang diistilahkan sebagai prokratis, satu kecenderungan untuk menunda tindakan walaupun sedar akan tanggungjawab sendiri.
Sikap prokratis wujud hampir di semua lapisan masyarakat. Dalam kalangan penjawat awam, tugasan sering ditangguhkan atas alasan menunggu arahan atau kelulusan seterusnya. Di sektor swasta, kerja digerakkan hanya apabila tarikh akhir semakin hampir. Dalam kalangan mahasiswa pula, niat untuk belajar, menulis atau menyiapkan tugasan sentiasa ada, tetapi pelaksanaan kerap ditunda. Lama-kelamaan, bertangguh bukan lagi pengecualian, sebaliknya menjadi kebiasaan yang diterima.
Isu ini sering dikaitkan dengan perbezaan generasi. Generasi muda dilabel kurang fokus dan mudah hilang tumpuan, manakala generasi lama pula dianggap terlalu selesa dan kurang desakan untuk berubah. Namun realitinya, sikap prokratis merentas semua peringkat umur. Puncanya bukan generasi, tetapi budaya. Budaya kerja yang terlalu bertolak ansur dengan kelewatan, sistem yang tidak menuntut akauntabiliti yang jelas, serta sikap individu yang lebih takut kepada risiko kecil berbanding risiko besar akibat tidak bertindak.
Lebih membimbangkan, sikap bertangguh ini sering disalah tafsir sebagai berhati-hati atau berfikir panjang. Hakikatnya, terlalu lama menunggu hanya melambatkan kemajuan. Menurut Timothy Pychyl, pakar psikologi yang mengkaji tabiat bertangguh, procrastination bukan isu pengurusan masa semata-mata, tetapi kegagalan mengurus emosi apabila berdepan tugasan yang tidak selesa. Kita bukan tidak tahu apa yang patut dibuat, tetapi memilih untuk mengelak rasa tidak selesa untuk memulakannya.
Fenomena ini jelas dalam kehidupan seharian. Ramai antara kita gemar menatal media sosial dengan menonton video motivasi, resipi, tip kewangan dan pelbagai panduan produktiviti, lalu menyimpannya sebagai kegemaran. Niatnya baik dengan harapan akan dilaksanakan kemudian. Namun minggu berganti bulan, semuanya kekal sebagai simpanan. Begitu juga dengan seminar dan bengkel pembangunan diri. Kita sanggup membayar ratusan malah ribuan ringgit, pulang dengan semangat yang tinggi, tetapi beberapa minggu kemudian, perubahan yang dijanjikan tidak berlaku. Semangat hadir, tindakan tidak menyusul.
Di tempat kerja, perbezaan antara individu produktif dan individu prokratis semakin ketara. Individu yang produktif akan bertindak walaupun keadaan belum sempurna, sambil menilai dan memperbaiki langkah sepanjang proses. Individu yang prokratis pula cenderung berfikir panjang, menunggu masa sesuai dan menantikan motivasi penuh sebelum bermula. Dalam konteks tahun 2026, perbezaan ini bukan lagi perkara kecil kerana ia menentukan sama ada seseorang mampu bergerak ke hadapan atau terus ketinggalan.
Bagi mahasiswa, budaya menyiapkan tugasan pada saat akhir sering dianggap perkara biasa. Namun tabiat ini membentuk sikap kerja yang sama apabila memasuki alam pekerjaan, iaitu bergantung kepada tekanan, bukan disiplin. Dalam jangka panjang, corak ini melemahkan keupayaan membuat keputusan dan menjejaskan daya saing diri.
Perubahan sebenar tidak memerlukan langkah yang besar. Ia bermula dengan tindakan kecil tetapi konsisten. Kurangkan menyimpan niat dan tingkatkan pelaksanaan. Kurangkan menunggu motivasi dan perkuatkan disiplin diri. Keputusan yang baik hari ini jauh lebih bernilai daripada keputusan sempurna yang tidak pernah dibuat.
Kita sudah berada dalam tahun 2026, satu tempoh yang menuntut tindakan, bukan sekadar perancangan. Sama ada sebagai penjawat awam, pekerja atau mahasiswa, masa depan tidak ditentukan oleh berapa banyak idea yang kita kumpul, tetapi oleh berapa banyak yang kita laksanakan. Dalam dunia yang bergerak pantas, bertangguh bukan lagi pilihan peribadi, tetapi kegagalan membuat keputusan.
Pilihan di tangan kita untuk menjadi produktif, bukan prokratis.



