SERAH… Bashir (tengah) bersama Mohd Jurijh (kiri sekali) dan Rithuan (kanan sekali) menyerahkan insentif Pembangunan Tanaman Buah Jangka Pendek kepada Atim Brahim.
LABUAN: Seramai 1625 warga Labuan khususnya golongan petani di pulau ini menerima pelbagai insentif Jabatan Pertanian yang dijalankan sepanjang tahun 2021.
Pengarah Jabatan Pertanian Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Jurijh Abdullah Fauzi berkata, insentif yang bernilai RM1 juta itu disediakan oleh kerajaan bagi merancakkan industri pertanian sekaligus mengurangkan kebergantungan hasil import dari luar Labuan.
“Antara insentif yang disediakan oleh kerajaan antaranya Insentif Pembangunan Tanaman Buah Jangka Panjang, Insentif Pembangunan Tanaman Buah Jangka Pendek, Insentif Pembangunan Komuniti, Insentif Agro Food Park, Insentif Sayuran, Insentif Pembangunan Industri Cendawan, Insentif Pertanian Organik, Insentif Program Kebuniti dan Insentif Pengukuhan myGAP” katanya ketika ditemui sempena Program Penyerahan Insentif dan Promosi Buah-Buahan Tempatan di Taman Pertanian Kilan, dekat sini pada Ahad.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Mohd Jurijh berkata, sepanjang tahun 2020 sebanyak 563 metrik tan buah-buah tempatan telah berjaya dihasilkan melibatkan buah-buahan seperti durian, rambutan manggis, mangga serta lain lain buah-buahan.
Sementara itu, Bashir ketika berucap pada program tersebut berkata, kerajaan melalui Jabatan Pertanian komited untuk membantu golongan petani bukan sahaja tanaman buah-buahan tetapi juga sayuran-sayuran dan juga perusahan ternakan kelulut dan sebagainya.
“Aktiviti pertanian mampu memberikan pulangan dan keuntungan jika ia diusahakan secara bersungguh sungguh seperti yang dibuktikan oleh beberapa pengusaha yang telah berjaya menghasilkan produk yang bermutu dan berkualiti” katanya.



