Zaliha menyampaikan sumbangan wang zakat kepada asnaf pada majlis tersebut.
LABUAN: Seramai 1,500 asnaf di pulau ini menerima bantuan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membabitkan peruntukan bernilai RM300,000.00.
Majlis penyerahan sumbangan wang zakat itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, sempena Majlis Nur Ramadan peringkat Labuan yang diadakan di Surau Annur Rahim, Kg Sungai Buton, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Sukuran Mohd Taib Dan Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md. Fadzli Md. Saad.
Zaliha berkata, pada majlis itu seramai 300 penerima yang terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan menerima sumbangan itu bernilai RM200 setiap asnaf.

Zaliha menyerahkan sumbangan JWP bernilai RM 270,000.00 kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ketua Ketua Kampung Ismail Samad.
“Manakala selebihnya 1,200 asnaf lagi akan menerima agihan sumbangan itu secara berperingkat” katanya.
Zaliha turut mengucapkan terima kasih kepada MAIWP atas usaha berterusan dalam membantu golongan memerlukan serta penghargaan kepada hamir dua juta pembayar Zakat di Wilayah Persekutuan yang menjadi tonggak kepada sistem zakat.
Pada majlis itu Zaliha turut menyampaikan peruntukan sumbangan urus tadbir Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) kepada 27 Kampung melibatkan peruntukan bernilai RM270,000.00 sumbangan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Manakala Surau Annur Rahim Sungai Buton juga menerima sumbangan bernilai RM 5,000.00 daripada JWP bagi membantu menaik taraf fasiliti surau berkenaan.