Rosli (dua kiri) bersama Simsudin (dua kanan), Mohd Alias (kanan sekali) dan Azize ketika melancarkan perasmian simbolik Borneo Artscape 2024.
LABUAN: Seramai 150 peserta dari Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Labuan menyertai Program Borneo Artscape @ Citra Karya Borneo 2024 anjuran Persatuan Seni Visual Labuan (Lavista) dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Labuan.
Program yang berlangsung selama tiga hari di Desaland (Desa Tunas), Kampung Sungai Miri itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancong dan Seni dan Budaya (MOTAC) Wilayah Persekutuan Labuan, Rosli Mat Jinun.
Hadir sama, Pengerusi Lavista, Azize Md Yusoph, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dan Pengasas Desa Tunas, Datuk Sri Mohd Alias Abdul Rahman.
Azize ketika berucap pada majlis itu berkata, program tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran seni visual telah dikunjungi lebih 3,000 pengunjung untuk menyaksikan pelbagai karya yang dihasilkan oleh karyawan Seni dari Borneo.
Selain itu ia juga bertujuan untuk melestarikan warisan budaya Borneo melalui pelbagai persembahan seni.
“Borneo Artscape adalah sebuah acara yang menarik bagi pecinta Seni, alam dan budaya yang telah menawarkan pengalaman yang unik serta memberi sumbangan positif kepada perkembangan seni dan pelancongan di Borneo” katanya.
Pelbagai acara telah diadakan seperti pertandingan seni instilasi cahaya, pertandingan face painting, persembahan seni dan pertandingan glamping tercantik.