Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Mokthar Radin (tiga dari kanan) diiringi oleh Pembantunya Datuk Robert Tawik semasa melawat Loji Air Bingkor.
KENINGAU:Jalan Bunga Raya Kikiran yang menjadi rungutan penduduk di kawasan itu sekian lama akan dinaiktaraf dalam masa terdekat.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Mokthar Radin berkata, projek naiktaraf jalan raya yang menelan kos lebih kurang RM10 juta itu akan dilaksanakan tahun ini.
Walau bagaimanapun katanya, bagi fasa pertama ia dimulakan dengan sejauh 2.2 kilometer yang memakan belanja kira-kira RM 3 juta.
“Kini ia dalam proses tender dan apabila penilaian tender sudah selasai kerja-kerja naiktaraf akan bermula” katanya kepada media selepas lawatan kerjanya di Keningau hari ini.
Dalam siri lawatan ini, Bung telah melawat Jalan Bunga Raya Kikiran, Jalan Minansut, Loji Air Bingkor, Projek Pemasangan Paip ke Bandukan Lama Keningau dan Jalan Patikang Tengah.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kementeriannya juga telah meluluskan peruntukan pembinaan jajaran paip baharu Kampung Bandukan lama dan sekitarnya berjumlah RM 9 juta bagi membekal 5 MLD ( 0.5 )juta liter air sehari.
“Ini juga dalam proses tender dan ia akan dilaksanakan sebaik sahaja proses tender selasai pada tahun ini” jelasnya.
Selain itu katanya, low level crossing di Mongitom, Minansut dan sungai Liawan Kampung Dangulat akan dinaiktaraf menjadi jambatan konkrit serta jalan Kampung Minansut sejauh 1.5 kilometer juga dalam perhatian untuk dinaiktaraf.
“Ini katanya kerana low level crossing tidak lagi sesuai pada masa ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu” katanya.
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukan pembelian 4 buah mesin pengepam air bagi meningkatkan loji air sedia ada di daerah ini.
“Cuma kita kena tunggu dalam tempoh tujuh hingga sembilan bulan kerana ia melalui proses dan lagi pun mesin tersebut kita beli dari luar negara” jelasnya lagi.
Menurut Bung, kerajaan membeli empat buah mesin pengepam air kerana dua buah akan dipasang untuk tambahan mesin sedia ada dan dua lagi sebagai stok apabila berlaku kerosakan pada mesin sedia ada.
Pada masa sama Bung berkata, jalan raya Patikang Tengah sejauh lebih kurang 9 kilometer yang dilaporkan sering dilanda banjir juga akan dinaiktaraf.
Namun demikian katanya, ia masih dalam kajian pihak Jabatan Kerja Raya (JKR)dan Jabatan-Jabatan yang berkaitan.
“Kita perlu laporan terperinci barulah kita dapat membuat anggaran kosnya” katanya.
Beliau juga mengingatkan penduduk di daerah ini agar menjaga sungai-sungai yang menjadi sumber air penduduk.
“Jangan terokai kawasan yang berhampiran sungai dengan sesuka hati kerana penerokaan yang tidak terkawal boleh menyebabkan air sungai berkurangan bagi jangka panjang selain pencemaran berlaku” tegasnya.
Terdahulu Bung diberi taklimat oleh Jurutera Jabatan Kerja Raya Keningau dan Jurutera Jabatan Air Negeri Sabah (Keningau)di Pejabat JKR Keningau.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik, ADUN Liawan Datuk Annuar Datuk Ayub, ADUN Tulid Flovia Ng, Pengarah JKR Sabah Ir Ali Ahmad Hamid, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Edward Lingkapo, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Bung (kiri) semasa melawat low level crossing di Jalan Bunga Raya yang akan dinaiktaraf kepada jambatan konkrit.