KETUA keluarga mangsa kebakaran menerima kit makanan dan keperluan lain dari MAIWP dan agensi lain.
LABUAN: 12 buah keluarga melibatkan 59 mangsa yang terlibat dalam satu kebakaran di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) pada Sabtu lalu menerima bantuan kit makanan dan keperluan lain daripada pelbagai agensi, pada Ahad.
Antara agensi yang menyalurkan bantuan itu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadli Md Saad berkata, ketika ini pihaknya dalam proses mengumpul maklumat bagi menyalurkan bantuan secara ‘one off’ bagi meringankan bebanan mangsa.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang berusaha untuk mengemas kini maklumat kebakaran dan jumlah mangsa sebenar untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang akan diadakan dalam waktu terdekat.
MUSNAH…. Sebahagian daripada 12 buah yang musnah terbakar dalam kejadian petang Sabtu lalu.
Pengarahnya Hafiez Mohd Daud berkata, setakat ini MKN telah merekodkan jumlah mangsa yang terlibat seramai 59 yang terdiri daripada 31 orang dewasa, 24 kanak-kanak dan empat bayi.
Beliau berkata, ketika ini kesemua mangsa tinggal bersama ahli keluarga terdekat yang berhampiran dengan tempat kejadian.
Pada Sabtu lalu sebanyak 12 buah rumah musnah 100 peratus dijilat api, manakala tiga lagi mengalami kerosakan kecil dalam satu kebakaran yang berlaku di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian dekat Jalan Shariff Kedah.
Bagaimanapun kebakaran yang dilaporkan sekitar jam 2.20 petang itu tidak melibatkan kecederaan mahupun kehilangan nyawa.