CEMERLANG…Penerima Anugerah Cemerlang MUIS, Nur Syuhadah Natasha Mokti (tiga dari kanan) menerima anugerah daripada Hajiji (empat dari kiri).
KOTA KINABALU : Seramai 117 pelajar menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (ABCKNS) dan Anugerah Cemerlang Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pada tahun ini Kerajaan Negeri memperuntukkan jumlah tertinggi untuk biasiswa berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Daripada hanya RM50 juta pada tahun 2020, peruntukan BKNS telah meningkat setiap tahun sepanjang lima tahun lalu, dan mencapai RM136 juta pada tahun 2025.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM86 juta berbanding tahun 2019, mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pendidikan anak-anak Sabah.
“Kerajaan Negeri telah membuat pelaburan yang besar untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam pembangunan pendidikan di negeri ini, yang memberi manfaat kepada sejumlah 13,550 pelajar dari tahun 2021 hingga 2024,” katanya ketika berucap semasa Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-36 di sini, pada Isnin.
Sementara itu, beliau turut menyatakan komitmen Kumpulan Yayasan Sabah amat jelas dengan peruntukan sebanyak RM67.17 juta untuk sektor pendidikan tahun lalu, yang memberi manfaat kepada 3,234 pelajar.
“Jumlah ini mencatat peningkatan ketara sebanyak 148.96 peratus berbanding hanya RM26.98 juta pada tahun 2020.
“Seramai 10,104 penerima telah mendapat manfaat daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada Jun 2022 melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM15.8 juta.
“Manakala, melalui Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS pula, lebih 48,000 pelajar di seluruh Sabah telah menerima manfaat dalam tempoh lima tahun lalu, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM92.4 juta,” ujarnya.
Hajiji menambah, pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang disediakan melalui jabatan dan agensi berbeza mencerminkan komitmen kuat Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan dan masa depan anak-anak Sabah.
“Kita akan terus memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dijaga dan diberi perhatian sewajarnya, tanpa mengira latar belakang.
“Kepada golongan belia, belajarlah bersungguh-sungguh dan berusaha mencapai kecemerlangan lebih tinggi.
“Terokailah bidang profesional seperti minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta Kecerdasan Buatan (AI), bagi melahirkan individu berkepakaran tinggi dan berkualiti dari Sabah dalam pelbagai sektor,” tambahnya lagi.
Hajiji berharap anugerah tersebut menjadi dorongan kuat kepada para pelajar untuk terus cemerlang dan pada masa yang sama membantu mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Daripada keseluruhan jumlah penerima, 40 merupakan penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, 60 penerima ABCKNS dan 17 penerima Anugerah Cemerlang MUIS.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Kadzim Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif, Menteri-menteri Kabinet, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar. – PENERANGAN



