Ewon ketika ditemu bual di konti Sabah FM.
KOTA KINABALU : Seramai 100 peniaga makanan dan minuman akan mengambil bahagian dalam Jamuan Bersama Rakyat sempenaSambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025, mulai malam ini.
Timbalan Ketua Menteri lll, Datuk Ewon Benedick menjelaskan jamuan berkenaan menyediakan makanan percuma kepada pengunjung sepanjang empat hari sambutan turut melibatkan komuniti penjaja tempatan.
“Jamuan rakyat ini, jika dilihat daripada tradisi sambutan perayaan dilaksanakan dalam bentuk jamuan rumah terbuka, di mana pengunjung dihidangkan makanan dan minuman.
“Sebanyak 100 peniaga kecil telah dikenal pasti bagi membekalkan pelbagai juadah makanan rakyat, termasuk kuih-muih.
“Mereka terdiri daripada penjaja sekitar Kota Kinabalu dan perlu memenuhi piawaian tertentu yang ditetapkan oleh DBKK, termasuk aspek halal, kualiti makanan serta saringan kesihatan, bagi memastikan jaminan kualiti kepada para pengunjung.
“Ini merupakan satu bentuk sokongan kerajaan, khususnya melalui kementerian keusahawanan dengan memberi ruang kepada peniaga kecil tempatan untuk menjadi pembekal.
“Jamuan ini diadakan secara percuma dan pengunjung boleh mendapatkan juadah pilihan di gerai peniaga kecil yang terlibat,”
katanya kepada media selepas sesi temubual di konti Sabah FM, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Selasa.
Ewon turut berkata sambutan seumpama itu boleh dijadikan platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat Sabah yang terdiri daripada kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya.
“Ini merupakan kali pertama penganjuran seumpama ini diadakan dan pada saya ia menyerlahkan keunikan Sabah yang, di sebalik kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya, rakyatnya mampu bekerjasama bagi menjayakan sambutan keagamaan serta pelbagai sambutan rakyat yang lain,” tambahnya.
Ewon menjelaskan beliau mencadangkan kepada Kabinet Negeri supaya Sambutan Krismas anjuran SCC bersama DBKK yang diadakan selama 19 tahun diangkat menjadi sambutan peringkat negeri, termasuk acara Jamuan Bersama Rakyat sebagai sebahagian daripada program itu.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 yang bermula 16 hingga 19 Disember di Padang Merdeka Kota Kinabalu./Penerangan



