SERAH… Fadillah menyerahkan Kad Sim kepada Siti Aminah mewakili 20 pelajar SMK Lajau yang menerima sumbangan tersebut.
LABUAN: Seramai 100 pelajar serta murid dari lima sekolah menengah dan rendah di sini menarik nafas lega apabila menerima bantuan ‘data internet’ melalui Kad Sim OneCALL (e-wallet) bagi kemudahan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Kad Sim OneCALL (e-wallet) sumbangan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Subzon 5 dan Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) itu bagi membantu pelajar terutama yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat persiapan.
Pengerusi MPP Subzon 5 Fadillah Eddy Abdul Khalid berkata, skim berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa yang anak mereka terpaksa mengikuti PdPR.
GEMBIRA… 20 pelajar SMK Lajau gembira mendapat data Internet sumbangan MPP Subzon 5 dan KEBAL.
“Kami faham dengan beban kewangan yang dihadapi ibu bapa ini memandangkan kami menerima aduan mengenai kesukaran mereka menyediakan data internet untuk anak-anak belajar secara dalam talian,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Beliau berkata sekolah yang mendapat manfaat tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara, SMK Labuan, SMK Lajau, Sekolah Kebangsaan (SK) Layangan dan SK Pekan 1.
Fadillah berkata pihaknya merancang memperluaskan lagi bantuan tersebut ke beberapa sekolah lain pada masa akan datang.
“Hanya pelajar yang menepati kriteria layak menerima bantuan tersebut, antaranya ibu bapa pelajar mesti daripada kumpulan B40 dan pelajar mengikuti sesi PdPR,” katanya.
Menurut Fadillah lagi, MPP juga sedang mengenal pasti pelajar sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan yang menjadi anak yatim berikutan ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19, untuk turut diberi bantuan sewajarnya.
Hadir sama, Pengetua SMK Lajau, Siti Aminah Zakaria dan Timbalan Pengerusi KEBAL, Mohd Fitri Kamil.