PIX: Jonathan (tengah) menyampaikan bantuan kepada penerima dalam acara tersebut
RANAU: Seramai 10 individu yang kebanyakannya daripada kategori eKasih, menerima bantuan bernilai RM20,000 untuk memohon lesen memandu lori mereka di sini pada Rabu.
Bantuan itu diperuntukkan dan disampaikan oleh Ahli Parlimen Ranau yang juga Timbalan Menteri II Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin di Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Ranau.
“Saya faham bukan mudah untuk sesiapa apatah lagi mereka yang berlatar belakang eKasih untuk mengumpul dana RM2,000 bagi merealisasikan cita-cita menjadi seorang pemandu lori.
“Inilah sebabnya kita mengambil inisiatif dalam menjaga rakyat tanpa mengira latar belakang politik, etnik atau agama. Kami mahu semua orang di sini mendapat peluang untuk memperbaiki diri,” katanya.
Para penerima bantuan tersebut ialah Roger Raimon, Ismail Gungurou, Ropinin Bin Sohimin, Lihan Mailus, Nasuron Bin Billon, Alvin Don Buchai, Wesiley @ Jewesley Bin Mutarah, Syalvianus Maikol, Jasmin Bin Rantas dan Minus @ Raimin Gautong.
Kearah itu, Jonathan menggesa mereka yang terlibat supaya tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepada mereka dan memastikan mereka melakukan yang terbaik untuk lulus ujian lesen itu tidak lama lagi.
“Saya harap anda yang terpilih adalah kamu yang benar-benar mahu menjadikan pemanduan trak sebagai kerjaya dan cintakan pekerjaan ini. Gunakan peluang yang ada sebaik mungkin.
“Saya juga berharap ini membuka peluang anda untuk membantu keluarga masing-masing,” katanya sambil mengingatkan mereka supaya tidak gagal kerana kos mengulang ujian juga tidak murah.
Jonathan berkata bantuan yang diberikan itu menggambarkan hasrat kerajaan untuk membantu semua lapisan masyarakat walaupun dari fahaman politik lain.
“Ini penting kerana tujuannya ialah untuk membantu rakyat maju. Kita mahu menghapuskan pilih kasih dalam memberi bantuan supaya tidak ada yang terpinggir,” katanya.



