Rumah PPRT: Ganih Ajin ucap terima kasih kepada Jahid Jahim dan kerajaan

Rumah PPRT: Ganih Ajin ucap terima kasih kepada Jahid Jahim dan kerajaan

02/12/2021 Off By Marutin Ansiung

SYUKUR …. Ganih (tiga kanan) membuka pintu rumah PPRT tersebut yang siap sepenuhnya pada 22 November lalu, sambil diberi sokongan oleh Jahid (tiga kiri), dan para pemimpin masyarakat yang lain

TAMPARULI: TIADA Kata mampu menggambarkan perasaan seorang mangsa kebakaran di Kampung Mangkaladoi apabila mendapat sebuah rumah baharu, hasil ihsan kerajaan menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Ganih Ajin, (59 tahun), dan keluarga, yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran pada 17 Mei lalu, mensyukuri bantuan perumahan sumbangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di bawah pelaksanaan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli itu.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pihak kerajaan, terutamanya kepada pemimpin kami, Datuk Jahid Jahim, atas keprihatinan kepada kami sekeluarga,” katanya terharu.

Jahid, yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, turut sama gembira, kerana Ganih dan keluarga, kini memiliki tempat tinggal yang lebih selesa, tanpa perlu menumpang di rumah ahli keluarga mereka yang lain.

“Semoga bantuan ini akan memberi satu sinar baharu dan keselesaan kepada Ganih dan keluarga, untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” ujar beliau.

Majlis simbolik penyerahan kunci rumah kepada Ganih, disempurnakan oleh Jahid, di tapak rumah tersebut hari ini.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Madin Anak, Setiausaha Politik KPLBS, Jilias Lintar, Penolong Jurutera Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Rayner Francis Siun, dan Pengerusi JPKK Kampung Mangkaladoi, Lucas Lo.