ENAM Penjuru…..Yusof (empat dari kanan) bersama lima lagi calon lain yang bakal bertanding bagi DUN N35 Sindumin.
SIPITANG: Ketua Exco Penerangan Parti Warisan Sabah, Datuk Dr. Yusof Haji Yacob berdepan saingan enam penjuru untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri N35 Sindumin pada Pilihhan Raya Negeri kali ke 16.
Yusof yang juga mantan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah merupakan penyandang kerusi DUN Sindumin akan dicabar lima calon lain iaitu Sani Miasin dari Umno Barisan Nasional (BN), Daniel Gaing @ George Danial (Liberal Democratic Party (LDP), Manshur @ Manshor OKK Mohd Yassin (Usno), Arifin Harith (Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dan Jaebeh @ Jaybee Buaya dari Parti Cinta Sabah (PSC).
SIDANG AKHBAR….. Yusof (kanan sekali) bersama Rozman (dua kanan) pada sidang akhbar selepas penamaan calon selesai di Dewan Serbagauna Sipitang, pada Sabtu.
Sementara itu Yusof berkata parti Warisan bertekad untuk meneruskan agenda pembangunan Sindumin seiring pembangunan negeri.
Antara fokus yang menjadi keutamaan beliau ialah berusaha sedaya upaya menggerakkan ekonomi tempatan disamping menggalakkan lebih ramai pelabur tempatan dan asing melabur dalam pelbagai sektor di Sipitang.
“Dalam usaha menggerakkan ekonomi belia, kita akan menggalakkan penglibatan mereka dalam sektor pertanian dengan menjadi usahawan tani moden dalam pelbagai penanaman berdaya maju,” katanya kepada pemberita dalam saru sidang akhbar selepas penamaan calon di Dewan Serbaguna Sipitang, pada Sabtu.
Hadir sama pada sesi sidang media itu, Ketua Parti Warisan Sabah Bahagian Labuan yang juga Timbalan Pengarah Jentera Pilihanraya Parti Warisan, Datuk Rozman Isli serta beberapa pemimpin dan penyokong parti Warisan Bahagian Sipitang.
Pada masa yang sama, Yusof turut merancang untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.