David
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah) memandang serius insiden gangguan bekalan elektrik yang melanda sebahagian besar Sabah baru-baru ini. Kami menyeru orang ramai supaya tidak mempolitikkan isu ini, sebaliknya memahami bahawa kejadian ini berpunca daripada faktor semula jadi yang tidak dapat dijangka.
Gangguan bekalan elektrik berlaku susulan runtuhan tanah akibat hujan lebat luar biasa yang menyebabkan menara penghantaran 275kV tumbang. Ini merupakan bencana alam yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan telah menjejaskan sistem penghantaran elektrik utama di negeri ini.
Pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) bersama pasukan teknikal telah segera menggerakkan usaha pemulihan, termasuk kerja-kerja pembaikan dan penyelamat, sebaik sahaja insiden ini dilaporkan. Pihak SESB menjangkakan bekalan elektrik dapat dipulihkan secara berperingkat dan disasarkan kembali normal dalam tempoh 48 jam.
Kami menghargai usaha pasukan teknikal SESB yang bekerja tanpa mengira masa bagi memastikan pengguna kembali menikmati bekalan elektrik dengan segera. YPNM turut menggesa orang ramai agar:
Bersabar dan memberikan ruang kepada pasukan teknikal menyelesaikan kerja-kerja baik pulih.
Mengelak daripada menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik.
Tidak mempolitikkan insiden ini kerana ia adalah bencana alam di luar kawalan mana-mana pihak.
YPNM akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan menyalurkan maklumat terkini demi kepentingan pengguna di Sabah.



