SIMBOLIK…. Muhammad Ridzuan (tengah) secara simbolik menyerahkan sumbangan Kit Makanan kepada wakil-wakil agensi media.
LABUAN: Yayasan Pembangunan Labuan (YPL) menghulurkan sumbangan 69 kit makanan kepada pengamal media eletronik dan cetak yang diadakan di Pejabat Penyiaran Labuan, pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif YPL, Muhammad Ridzuan Ibrahim berkata, sumbangan berupa keperluan asas makanan harian itu sebagai tanda penghargaan YPL kepada pengamal media yang terlibat dalam tugasan di lapangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Beliau berkata, pengorbanan petugas media yang bertugas di lapangan juga perlu dihargai kerana mereka juga berhadapan dengan situasi getir ketika membuat liputan.

“Diharap dengan adanya sedikit sumbangan daripada YPL ini akan dapat meringankan beban petugas media yang bertugas di barisan hadapan sepanjang PKP ini” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan tersebut.
Seramai 69 wartawan yang melibatkan ahli Persatuan Penggiat Media Labuan, wartawan Jabatan Penyiaran Labuan dan Jabatan Penerangan Labuan menerima sumbangan tersebut.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Asharey Matarsad, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Fauziah Mohd Sidek dan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainudin Djimin. – TAMAT
