ADVERTISEMENTspot_img

Wujudkan pusat belian sarang burung walet secara berjadual: James

Datuk James (kiri) dan Datuk Sia, selepas selesai menandatangani Perlanjutan Perjanjian (MOA) di Kuala Lumpur, pada Khamis.


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran bercadang mewujudkan pusat belian sarang burung walet secara berjadual dengan mengadakan Mini buying Fair di PPK-PPK berpotensi di Negeri Sabah.


Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Beluran, Datuk James Ratib berkata cadangan tersebut diharap dapat dilaksanakan dengan bantuan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata demikian semasa Majlis menandatangani perlanjutan perjanjian (MOA) bagi perniagaan pemasaran sarang burung walet mentah (RUC) dan sarang burung walet proses (RC) antara PPK Beluran dengan syarikat Nestlin Malaysia Sdn Bhd.


Beliau mewakili PPK Beluran selaku Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Beluran, manakala syarikat Nestlin Malaysia Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Sia Swee Seng. Majlis berlangsung di Menara LPP Kuala Lumpur pada hari Khamis.


Menurut beliau, kerjasama ini telah bermula sejak sembilan tahun yang lalu iaitu pada tahun 2016 dan kini kerjasama ini dikembangkan kepada kilang memproses sarang burung walet dan produk-produk hiliran berasaskan sarang burung walet.

JAMES bersama AJP PPK Beluran, mengabadikan gambar bersama Ketua Pengarah LPP Malaysia, Amir Matamin, Datuk Sia dan yang lain.


“Pada awal kerjasama kedua-dua pihak ini melibatkan pembelian sarang burung walet mentah dari pengusaha yang terdiri dari ahli peladang dan dihantar kepada Nestlin.


“Namun dalam perjanjian kali ini, kerjasama ini dikembangkan kepada kepada kilang pemprosesan sarang burung walet mentah menjadi RC dan pembuatan produk-produk hiliran berasaskan sarang burung walet,” katanya.


James yang juga merupakan ADUN Sugut berkata, ianya melibatkan transfer teknologi pembersihan sarang burung walet dan pembuatan produk-produk hiliran berasaskan sarang burung walet antara pihak Nestlin dan PPK Beluran.


Menyentuh tentang perancangan kedepan dalam kerjasama ini, katanya, PPK Beluran bersama-sama Syarikat Nestlin ingin menguasai 80% pembelian sarang burung walet di Negeri Sabah.


“Atas maksud ini, kami bercadang dengan bantuan LPP mewujudkan pusat belian secara berjadual dengan mengadakan Mini buying Fair di PPK-PPK berpotensi seperti PPK Kalabakan, PPK Papar dan PPK Pitas.


“Cadangan ini kita akan laksanakan insha Allah pada tahun 2025,” kata beliau.


Beliau memberitahu bahawa misi utama PPK Beluran dalam sarang burung walet ialah PPK Beluran dengan bantuan syarikat Nestlin Malaysia Sdn Bhd Menjadi pemain utama dalam industri sarang burung walet sebagai pemegang stok dan produk hiliran berjenama Beluran Bird Nest.


Turut hadir di majlis itu, Ketua Pengarah LPP Malaysia, Amir Matamin, Pengarah Bahagian Pembagunan Ekonomi Pertubuhan Peladang, Marlina Binti Mohammad, Pengarah Urusan Nestlin Malaysia Sdn Bhd, Datuk Sia Swee Seng, Pengurus Besar PPK Beluran, Sumarang Chunbung dan Ahli Jemaah Pengarah PPK Beluran.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN