RANAU: Pergerakan Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (StarSabah) merakamkan ucapan tahniah kepada Komisioner Polis Datuk Jauteh Dikun atas perlantikan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru.
Ketuanya, Kong Soon Choi berkata, beliau bersama-sama seluruh kepimpinan tertinggi serta ahli Exco Wiramuda parti itu berasa bangga dengan perlantikan seorang anak jati Sabahan mengetuai pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di negeri ini.
“Kita yakin beliau mampu menggalas tugas selaku Pesuruhjaya Polis Sabah dengan cemerlang demi keselamatan negeri dan rakyat yang berada di negeri Sabah ini. Pihak kami juga akan memberikan sepenuhnya kerjasama kepada Polis Sabah dalam mempastikan keselamatan sejagat sentiasa terjamin”. Katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kong yang juga merupakan Pengerusi Korporasi Kemajuan Perikanan Dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) berkata, keselamatan yang terjamin di negeri Sabah selama ini membolehkan pelbagai peringkat masyarakat menjalani kehidupan harian yang selesa termasuk mencari rezeki.
Katanya, para nelayan turut berasa selamat menjalankan aktiviti mereka di sekitar perairan laut mahupun sungai dan sudah tentu boleh membantu memacu kearah peningkatan ekonomi negeri Sabah dan negara Malaysia secara keseluruhannya.
Pada Selasa, Jauteh 57, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah menerima watikah perlantikan selaku Pesuruhjaya Polis Sabah daripada Ketua Polis Negara Inspektor Jeneral Tan Sri Acryl Sani bin Hj. Abdullah Sani yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Beliau menggantikan Datuk Idris Abdullah yang bersara wajib pada 31 Mac lepas dan merupakan Pegawai Kanan Polis dari suku kaum Dusun Ranau menjawat jawatan tertinggi Polis Kontinjen Sabah.