24 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 17, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

WARISAN BUDAYA MEMBENTUK JATI DIRI: REDONAH

Kenangan….. Redonah bergambar kenangan para pemenang.

KOTA MARUDU: Festival Kaamatan Sekolah (FESKA) 2025 yang berlangsung meriah di SK Pekan Lama Kota Marudu telah membuktikan betapa pentingnya warisan budaya dalam membentuk jati diri dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda yang menyifatkan FESKA 2025 sebagai bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform pendidikan nilai dan kasih terhadap warisan budaya tempatan.

“Dalam dunia yang serba moden ini, mengekalkan identiti budaya bukan sahaja penting, malah satu amanah. FESKA 2025 adalah satu manifestasi cinta terhadap budaya KDMR – Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus. Ia juga menyatukan pelajar pelbagai kaum di bawah satu bumbung perpaduan,” jelas beliau dalam ucapannya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Festa Kaamatan di SK Pekan Lama Kota Marudu, Kota Marudu semalam.

Dengan tema “Kaamatan untuk Semua”, sambutan ini menyerlahkan mesej keterangkuman dan menghargai kepelbagaian – sesuai dengan latar belakang pelajar SK Pekan Lama yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Antara pengisian program termasuk pertandingan bercerita dalam bahasa KDMR, Sugandoi, persembahan pakaian tradisional dan lain-lain.

Redonah turut merakamkan penghargaan kepada Guru Besar Atiah Awang, barisan pendidik seperti Cikgu Larry, serta Khairuddin Hj Jamal, Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu yang telah memberikan sokongan penuh menjayakan program ini.

“Anak-anak yang menyertai program ini bukan sahaja belajar tentang budaya mereka sendiri, tetapi juga nilai seperti semangat kerjasama, keyakinan diri, hormat-menghormati dan kebanggaan menjadi anak Sabah,” tambah beliau lagi.

Sebagai Pengerusi Persatuan Inspirasi Wanita Sabah, Redonah turut menekankan kepimpinan guru-guru wanita dalam menjayakan program ini sebagai satu contoh teladan buat masyarakat.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar tidak melupakan pelajaran dan budaya walaupun dunia kini dikelilingi oleh teknologi dan permainan dalam talian. “Gunakan teknologi dengan bijak, tetapi jangan sesekali melupakan akar budaya sendiri. Jadilah generasi celik teknologi, tetapi berjiwa Sabah,” pesannya.

FESKA 2025 berjaya menjadi wadah pendidikan dan perpaduan yang cemerlang, menyatukan seluruh komuniti SK Pekan Lama Kota Marudu dalam meraikan warisan negeri tercinta.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN