Oleh SALWAH ARAMAT
KOTA MARUDU : Warga daerah ini khasnya penduduk Kg. Bintasan Darat di sini, berterima kasih kepada kerajaan khususnya Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PPNS) kerana menyediakan peruntukan penyiapan sebuah jambatan gantung di kampung itu baru-baru ini.

Jambatan gantung sejauh 200 meter menelan kos RM15 ribu kini siap sepenuhnya dan menjadi laluan utama penduduk kampung ke kawasan pertanian mereka.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Bintasan Darat, Inungkihi Mainbar mewakili penduduk berterima kasih atas penyiapan jambatan gantung tersebut dan bantuan kerajaan memasang siap 6 buah tangki air berkapasiti 500 Liter (4 buah) dan 2 lagi 1000 Liter setiap satu.
-Inungkihi-
“Saya mewakili penduduk mengucapkan terima kasih atas kepimpinan tertinggi Parti Warisan (WARISAN) Kota Marudu dan Matunggong yang sentiasa prihatin terhadap setiap keperluan kampung yang dikemukakan MPKK Kg. Bintasan darat”, kata Inungkihi ketika memberitahu Media kelmarin.
Turut berterima kasih kepada kerajaan ialah Ketua Adat (Ketua Kampung) Kg. Bintasan Darat, Maralim Dahi.

Sementara itu, Ketua Pentadbir Wilayah Tandek P.168 Kota Marudu, merangkap Pengerusi Pertubuhan Momogun Society (NWC) Sabah, Nurjaffar Inggis ketika dihubungi mengharapkan kepada penduduk Kg. Bintasan Darat agar menghargai setiap bantuan dan peruntukan pembangunan yang diberikan kerajaan.
“Kerajaan banyak membantu pembangunan setiap kampung, justeru diharapkan kepada semua MPKK supaya sentiasa melihat keperluan yang mendesak di kampung masing-masing untuk dibaiki demi kemudahan penduduk kampung khususnya di kawasan pedalaman” jelas Nurjaffar.
T A M A T.



